My Add

Thursday 9 August 2012

Luaskan pendidikan berkualiti

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
PUTRAJAYA, RABU, 08 Ogos, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha sama antara kerajaan dan swasta seawal peringkat prasekolah hingga menengah perlu ditingkatkan lagi bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti.

Katanya, usaha tersebut tidak seharusnya diletakkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya strategi penggabungan antara kedua-dua pihak mampu memberikan peluang pendidikan terbaik di peringkat prasekolah.

Strategi itu, menurut beliau, selaras dengan kerangka Model Ekonomi Baru yang menggalakkan penglibatan swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara melalui penghasilan modal insan berdaya saing.

''Kerajaan akan menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada pihak swasta yang berminat seperti menyediakan geran, bantuan yuran murid prasekolah swasta dan memberi latihan kepada guru-guru prasekolah swasta," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis pemberian geran permulaan prasekolah swasta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud.

Sebanyak 70 prasekolah masing-masing menerima geran bernilai RM10,000 daripada kerajaan hari ini. Terdapat 220 prasekolah swasta layak menerima geran tersebut pada tahun ini.

Beliau berkata, sejak dua tahun lalu kerajaan telah memperkenalkan pemberian geran permulaan dalam bentuk kewangan kepada pengusaha prasekolah baru yang mula beroperasi serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai galakan penubuhan prasekolah oleh pihak swasta.

Ia bertujuan membantu pengusaha baru membuka lebih banyak prasekolah terutamanya di kawasan-kawasan miskin bandar dan luar bandar yang lokasinya sukar dicapai oleh pihak kerajaan.

Sub NKRA Bidang Pendidikan bagi tempoh Program Transformasi Kerajaan 1.0 (2010-2012) kadar pendaftaran masuk kanak-kanak prasekolah yang berumur empat hingga lima tahun akan ditingkatkan dari 69 peratus pada 2009 kepada 87 peratus menjelang tahun ini di kawasan miskin bandar, luar bandar dan pendalaman.

''Walaupun memberangsangkan saya difahamkan jumlah kelas ini tidak seiring dengan kadar pendaftaran masuk semasa murid-murid prasekolah sekiranya sasaran 87 peratus itu hendak dicapai," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru para pengusaha prasekolah terutama swasta memberi maklumat pendaftaran masuk murid-murid prasekolah kepada kementerian bagi memudahkan kerajaan membuat perancangan pembangunan dan peluasan prasekolah pada masa hadapan.

Muhyiddin berkata, statistik terkini prasekolah di seluruh negara menunjukkan Kementerian Pelajaran telah menyediakan sebanyak 8,671 kelas, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) (10,966), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (1,731) dan prasekolah swasta berdaftar sebanyak 7,591.

Tegas beliau, pengusaha prasekolah swasta tidak seharusnya mengenakan yuran membebankan sehingga menjejaskan hasrat mereka yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan awal yang baik untuk anak-anak.

''Para penerima geran harus berusaha memberikan pendidikan berkualiti dan relevan sejajar dengan peredaran semasa kerana senario pendidikan dunia kini berubah serta sentiasa dinamik, kita tidak seharusnya ketinggalan dalam arus perubahan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment