My Add

Friday 3 August 2012

Pancaragam SMK Sultanah Asma terima anugerah WAMSB

ALOR SETAR, KHAMIS, 02 Ogos, 2012: Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di sini menerima anugerah 'The Sudler Shield Award' daripada World Association of Marching Show Band (WAMSB) berikutan pencapaian cemerlang sekolah itu pada Persembahan Pancaragam Sedunia (WCMSB) 2011. 

Anugerah disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif WAMSB, Robert G Eklund kepada Pengetua SMK Sultanah Asma, Kartini Zakaria, hari ini. 
Pemilihan SMK Sultanah Asma berdasarkan pencapaian terbaiknya dengan memenangi beberapa kategori acara yang dipertandingkan selain muncul juara keseluruhan. 

Jurulatih pancaragam sekolah itu, Tang Chia Hue, berkata beliau tidak menyangka sekolahnya dipilih memenangi anugerah berkenaan kerana terpaksa melalui proses saringan dengan 26 sekolah lain dari seluruh dunia. 

"Kami akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk terus mendapat tempat pada kejohanan akan datang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pasukan pancaragamnya adalah sekolah pertama di negara ini yang dipilih menerima anugerah berprestij itu sambil menambah bahawa kemenangan itu adalah hasil kegigihan pasukannya selain persembahan unik yang berjaya menawan juri profesional. 

Pertandingan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 23 hingga 31 Julai tahun lalu. 

Pada kejohanan itu, SMK Sultanah Asma yang diwakili 140 anggota pancaragam berjaya mengumpul 94.2 mata, manakala Suphanburi Marching Band dari Thailand di tempat kedua dengan 91.7 mata dan Chein-Kuo High School Marching Band dari Taiwan di tempat ketiga dengan 90.6 mata. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment