My Add

Friday 3 August 2012

35 GRO antara 50 yang ditahan di Melaka

MELAKA, KHAMIS, 02 Ogos, 2012: Jabatan Imigresen Melaka menahan 50 warga asing termasuk 35 wanita yang dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam 'Ops Bersepadu 6P' awal pagi tadi. 

Timbalan Pengarahnya, Mohammad Azlan Jawawi, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 19 wanita warga China, Vietnam (11), Filipina (3) dan Indonesia (2) selain 15 lelaki warga Indonesia. 

Beliau berkata, semua mereka ditahan di pusat hiburan di Bandar Hilir dan ladang kelapa sawit di Kesang Pajak, Jasin dalam operasi yang bermula jam 11 malam hingga 2 pagi tadi. 

"Serbuan pertama membabitkan pemeriksaan 40 GRO di mana 35 daripada mereka yang berusia antara 22 hingga 35 tahun ditahan kerana disyaki menyalah guna pas lawatan sosial dengan bekerja dan terbabit dalam aktiviti tidak bermoral," katanya di sini, hari ini. 

Katanya, ketika serbuan, terdapat beberapa orang wanita itu cuba melarikan diri dan bersembunyi di sebalik sofa dan di bawah meja kaunter bayaran namun berjaya ditahan 18 anggota Imigresen yang terbabit dalam operasi berkenaan. 

Dalam serbuan kedua di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Jasin, Mohammad Azlan berkata, pihaknya berjaya menahan 15 lelaki warga Indonesia berusia antara 22 dan 44 tahun selepas didapati melanggar syarat pas, tinggal tanpa permit sah, tinggal lebih tempoh dan bekerja dengan majikan lain daripada yang didaftarkan. 

“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment