My Add

Friday, 3 August 2012

Pelajar kolej swasta didenda maki polis

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 02 Ogos, 2012: Tiga pelajar kolej swasta didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memaki hamun seorang anggota polis, semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir turut memerintahkan Ruzaidi Ramli, 18, Shahrul Amir Farhan, 19, dan seorang lagi pelajar yang berusia 17 tahun dipenjara sehari jika gagal membayar denda itu.

Ketiga-tiga pelajar itu didakwa bersama-sama dengan sengaja memaki hamun Sub Inspektor K. Chandran dari Balai Polis Cheras di Asrama Kolej Cybernatics, Jalan Perkasa 1, Taman Maluri, Cheras di sini pada pukul 8.30 pagi, semalam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk denda maksimum RM100.

Mengikut fakta kes, pada pukul 8.13 pagi semalam, Chandran bersama sepasukan anggota polis dari Balai Polis Cheras pergi ke asrama itu untuk membuat pemeriksaan.

Semasa Chandran sedang mendengar taklimat di tempat itu, Ruzaidi telah menghina anggota polis yang berada di situ dan diikuti pelajar berusia 17 tahun berkenaan, sambil meletupkan mercun, manakala Shahrul Amir Farhan mengejek polis dengan menyokong kata-kata kedua-dua kawannya itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Wong Chai Sia manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment