IPOH, SABTU, 25 Ogos, 2012: Sikap angkuh pemimpin tertinggi DAP yang berlagak seperti 'maharaja' dengan menekan pimpinan bawahan merupakan punca ramai ahli serta pemimpin akar umbi yang kecewa lalu bertindak keluar daripada parti itu.
Bekas Pengerusi Biro Kebajikan Wanita DAP Perak, Datuk Hee Yit Fong berkata, gelombang penolakan ahli terhadap DAP kebelakangan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana budaya 'pijak memijak' yang diamalkan pemimpin tertinggi parti itu kini semakin serius.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang itu yang kini menjadi wakil rakyat Bebas berkata, pemimpin tertinggi DAP bersikap sedemikian kerana mendapat kuasa dengan begitu mudah lalu mahu menyingkirkan golongan yang selama ini mengukuhkan kedudukan parti itu.
"Mereka (pemimpin DAP) dapat kuasa dengan begitu mudah. Golongan ini menjadi terlalu angkuh dan menganggap diri mereka sahaja yang betul. Orang macam Setiausaha DAP, Lim Guan Eng memecat ahli sesuka hati tanpa alasan yang betul, dia ingat dia selalu betul, dia ingat dia maharaja," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment