My Add

Friday 3 August 2012

Pentadbiran berpaksi al-Quran

*NAJIB Tun Razak bersama isteri, Rosmah Mansor menyampaikan duit raya kepada golongan miskin sempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid At-Taqwa, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Turut sama Mohamad Hasan (tengah) dan isteri, Raja Salbiah Tengku Nujumudin (dua, kiri). - UTUSAN/ABD RAZAK AID

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
SEREMBAN, KHAMIS, 02 Ogos, 2012:  Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan bahawa falsafah dan prinsip beliau mengurus tadbir negara ini adalah berpaksikan kepada al-Quran dan sunah.

Kata Perdana Menteri, falsafah yang dipraktikkan tersebut adalah lebih baik daripada teori Barat kerana ia berpaksikan kepada prinsip dan semangat berteraskan kepada agama.

''Kita mesti memperjuangkan berdasarkan agama dan syariah. Kita mesti jaga negara, akal, ilmu, keturunan, harta, keamanan dan kelima-lima tuntutan agama, yang mana menjadi landasan yang diperjuangkan oleh kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid At-Taqwa, Paroi dekat sini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin serta beberapa menteri dan pemimpin negeri.

Kata Perdana Menteri lagi, rakyat jangan tertipu dengan pihak yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi sering gagal mengotakan janji.

''Perjuangan kita jelas kerana kita ada agenda dan pengisian. Bila kita lakukan sesuatu, kita fikir jauh ke hadapan dan bukan bersikap populis, janji itu dan ini, tetapi belum tentu janji itu boleh dibuat," ujar beliau.

Najib turut memberitahu, dalam agenda kewangan, pelaburan dan ekonomi sahaja jelas menunjukkan bahawa negara ini berada dalam prestasi yang amat baik berbanding negara lain.

''Ada negara di mana kadar pengangguran dalam kalangan orang mudanya sehingga 45 peratus. Di Sepanyol, mungkin mereka boleh menang dalam Kejohanan Bola Sepak Euro, meskipun kita kalah dalam bola sepak, tetapi kita boleh dikatakan jaguh dalam bidang pentadbiran ekonomi negara.

''Sebab itulah, bila kita menegakkan prinsip keadilan sosial, kita akan dapat melihat ekonomi negara kita melalui pertumbuhan yang baik dan rakyat pula mendapat pembelaan yang sebaik mungkin daripadanya," kata beliau.

Beliau menjelaskan, kejayaan yang dicapai negara ketika ini bukan diuji setahun dua, tetapi terbukti sejak mencapai kemerdekaan lagi.

''Setiap Perdana Menteri yang memimpin negara ini ada budi dan jasanya, saya hanya menyambung sahaja dan akan membawa negara ini ke mercu kejayaan berdasarkan kepada sokongan padu daripada rakyat," tegasnya.

Mengenai bajet yang akan dibentangkan pula, Najib berkata, akan ada lebih banyak faedah untuk dinikmati rakyat.

Pada majlis tersebut, Najib turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada fakir miskin, orang kurang upaya serta ibu tunggal dengan jumlah peruntukan sebanyak RM85,000.

Beliau juga meluangkan masa mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki selepas solat maghrib dan solat sunat tarawih. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment