My Add

Thursday 9 August 2012

Permaisuri Agong sampai sumbangan Hari Raya

PENDANG, KHAMIS, 09 Ogos, 2012: Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan dan kurniaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada 150 anak yatim di daerah Pendang, di sini.

Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong menyampaikan sumbangan wang tunai serta beg sekolah kepada semua anak yatim yang terpilih dari seluruh daerah itu.
Terdahulu, ketika menyampaikan titah ucapan, baginda memaklumkan bahawa bantuan berkenaan disalurkan melalui Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) yang ditubuhkan baginda sejak setahun lalu.

Titah baginda, sebelum ini YAYSH berjaya menyampaikan bantuan di daerah Sik, Bandar Baharu serta Kubang Pasu dan kini diperluaskan ke daerah Pendang dalam usaha meringankan beban anak yatim.

"Hidup kita bukan sekadar untuk memenuhi keperluan keluarga sendiri saja tapi kita juga perlu membantu insan yang kurang bernasib baik bagi mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat," titah baginda pada majlis penyampaian sumbangan itu di Pendang Lake Resort di sini, hari ini.

Baginda bertitah, walaupun sedikit bantuan yang diberi, ia memberi makna yang cukup besar kepada mereka yang memerlukan.

Raja Permaisuri Agong turut berpesan kepada anak yatim supaya belajar bersungguh-sungguh kerana hanya itu yang akan mengubah masa depan mereka supaya menjadi lebih baik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment