My Add

Thursday 9 August 2012

Ops Sikap 26 dilancar dengan beberapa perubahan: KPN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 09 Ogos, 2012: Ops Sikap ke-26 yang akan dilancar esok dilaksana dengan beberapa penambahbaikan dalam usaha mengurangkan peratusan kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata penambahbaikan itu akan diumum semasa pelancaran di Dataran Shah Alam, Selangor.
"Tunggu saja esok (Jumaat), kita akan umumkan apa pembaharuan itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pembungkusan kuih raya oleh anggota Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sejak dilaksanakan pada 2001, Ops Sikap yang menggantikan Ops Statik memperkenalkan beberapa pembaharuan ketika pelaksanaannya seperti tindakan saman serta-merta yang dijalankan pada edisi ke-25 sempena Tahun Baru Cina.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis juga akan melakukan beberapa pembaharuan dalam penugasan anggotanya, untuk mengurangkan kejadian jenayah ketika sambutan Aidilfitri.

"Kita akan fikirkan bagaimana untuk kurangkan jenayah pada musim perayaan ini supaya orang ramai dapat balik kampung dengan perasaan selamat dan tidak perlu bimbang dengan kejadian jenayah," katanya.

Pada majlis itu sebanyak 4,700 bungkusan yang mengandungi kuih raya dan kain pelekat disediakan oleh 200 anggota PERKEP.
Sebahagian daripada bungkusan itu akan disampaikan kepada anggota polis yang bertugas pada Aidilfitri dan selebihnya kepada yang bertugas di luar negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment