My Add

Thursday 9 August 2012

PR tolak panel khas, mahu royalti dibayar segera

NURUL AINI MOHAMED ALI 
PETALING JAYA, KHAMIS, 09 Ogos, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penubuhan Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Negeri-negeri Pantai Timur yang diumumkan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak, tidak perlu sebaliknya bayaran perlu diberi secara terus kepada Kelantan dengan segera.

Menurutnya, kerajaan pusat perlu membayar secara tunai kepada Kelantan seperti yang dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

"Saya menuntut agar Najib tidak berdalih lagi berhubung pembayaran royalti minyak kepada Kelantan. Kelulusan bagi pembayaran royalti harus dipercepatkan tanpa melalui jawatankuasa khas," tegasnya.

Anwar mendesak Najib agar dapat mengembalikan semula hak Kelantan yang selama ini dinafikan oleh kerajaan pusat.

Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan masing-masing. Ia akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa turut menyatakan persetujuan penubuhan jawatankuasa khas tidak diperlukan bagi menyelesaikan isu pemberian royalti minyak kepada Kelantan.

"Ini merupakan komitmen PR bagi mendesak agar Perdana Menteri mampu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya.

Menurut beliau lagi, bayaran royalti perlu dibuat dengan segera kepada Kelantan tanpa sebarang kerenah yang mengambil masa terlalu lama.

"Kajian yang bakal diadakan enam bulan ini tidak perlu kerana ia memakan masa terlalu lama. PR menjangkakan enam bulan ini akan melepasi tarikh pilihan raya, taktik ini sekadar bagi melengah-lengahkan pembayaran royalti," katanya lagi.

Tambahnya, setakat ini belum ada lagi sebarang nama wakil jawatankuasa negeri Kelantan dan tiada sebarang perbincangan dibuat. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment