My Add

Thursday 9 August 2012

Muhyiddin pengerusi mesyuarat ke-68 MTN

PUTRAJAYA, KHAMIS, 09 Ogos, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat ke-68 Majlis Tanah Negara (MTN) di Dewan Persidangan ICU, Bangunan Perdana Putra di sini.

Antara yang hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar serta beberapa menteri kabinet lain dan menteri besar.

Mesyuarat yang bermula pada kira-kira jam 9.30 pagi itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Mesyuarat MTN diadakan bagi membincangkan dasar serta perundangan untuk memaju dan mengawal penggunaan tanah bagi maksud perlombongan, pertanian, serta perhutanan, di samping usaha lain bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, empat kertas pertimbangan dan dua kertas makluman yang menyentuh mengenai pendaftaran hak milik strata dan beberapa dasar penting berkaitan dengan perhutanan dibentangkan.

Antara kertas pertimbangan yang dibentangkan ialah Rang Undang-Undang Hakmilik Strata (Pindaan ) 2012 yang mana mesyuarat bersetuju supaya satu penambahbaikan dilaksanakan ke atas sistem penyampaian melalui konsep pengeluaran hak milik strata dan pemilikan kosong atau 'vacant possession' secara serentak.

Cadangan pindaan kepada akta itu antara lain bertujuan untuk memastikan hak pembeli rumah berstrata terjaga terutama sekali berkaitan dengan hak milik strata yang menjamin hak keempunyaan seseorang individu. 

Menurut kenyataan itu, pihak pemaju juga akan dipastikan supaya tidak melepaskan tanggungjawab mereka membuat permohonan hak milik strata dan seterusnya memindah milik hak milik tersebut ke atas para pembeli yang berhak.

Sehubungan itu pada masa depan pembeli rumah berstrata akan dapat memasuki rumah selepas menerima 'vacant possession' daripada pihak pemaju dalam masa yang sama hak milik strata sedia didaftarkan di pejabat tanah bagi tujuan pindah milik kepada mereka.

Ia juga secara tidak langsung memberi impak besar kepada industri pembangunan dan pemajuan hartanah di mana masalah kelewatan pengeluaran hak milik strata akan dapat diatasi dengan memendekkan masa pengeluaran hak milik strata daripada 170 hari bekerja kepada kurang daripada 100 hari bekerja.

Rang Undang-Undang itu dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, menurut kenyataan itu.

Kertas pertimbangan lain yang turut dibentangkan ialah Pemantapan Pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan Melalui Pewartaan Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung; Penetapan Syarat-Syarat Penubuhan Ladang Hutan Dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung; dan Pengecualian Royalti Ke Atas Pengeluaran Kayu Getah, Batang Kelapa Sawit Dan Batang Kelapa Dari Kawasan Tanah Bermilik Di Bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (2-11-2015).

Sementara itu, dua kertas makluman yang dibentangkan ialah mengenai kemajuan penyelesaian tunggakan urusan tanah serta prestasi pendaftaran pindah milik tanah dalam masa satu hari di pentadbiran tanah negeri dan pelaksanaan penyeragaman kadar royalti kayu balak di Semenanjung mengikut keputusan majlis perhutanan negara ke-12 pada 13 Feb 1996.

Mesyuarat dimaklumkan bagi urusan pendaftaran urusniaga dan bukan urus niaga, hampir kesemua negeri berjaya menyelesaikan tunggakan terkumpul sehingga 31 Disember 2011.

Hanya negeri Selangor yang merekodkan tunggakan sebanyak 164 kes atau 0.01 peratus daripada jumlah keseluruhan kes tunggakan yang diterima negeri berkenaan.

Bagi urusan pendaftaran Pindah Milik Tanah dalam satu hari bagi Jun tahun ini, pencapaian 100 peratus dicatatkan oleh pentadbiran tanah negeri Perak, Pahang, Perlis, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka manakala Pulau Pinang mencatat peratusan terendah iaitu 84.18 peratus. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment