PETALING JAYA, RABU, 01 Ogos, 2012: Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) hari ini mengumumkan projek infrastruktur terbesar negara, Sungai Buloh–Kajang Mass Rapid Transit Line - berjalan mengikut jadual.
Projek itu kini beralih daripada kerja-kerja penyediaan kepada fasa pembangunan aktif, kata Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak.
Sejak jajaran Sungai Buloh-Kajang diputsukan pada Julai tahun lepas, perancangan, reka bentuk dan kerja-kerja penyediaan untuk pembinaan, sudah berjalan sepenuhnya, katanya.
Setakat ini, 33 pakej bernilai RM15.5 bilion sudah diluluskan untuk pakej 1 Sungai Buloh-Kajang Line, katanya.
Beliau berkata MRT Corp akan mengumumkan projek baharu menjelang akhir tahun untuk Sungai Buloh ke Kajang Line 1, yang termasuk pembelian tren, jejambat V8 dan pembinaan stesen.
"Tarikh akhir operasi fasa satu Sungai Buloh-Kajang Line 1, dari Sungai Buloh ke Semantan, pada Disember 2016. Pakej itu juga berjalan mengikut jadual.
"Fasa dua dari Semantan ke Kajang akan mula beroperasi dari Julai 2017,” katanya pada taklimat media hari ini.
Amir berkata tiga syarikat -- dua dari China dan satu firma Jepun -- telah mengemukakan tender untuk membekalkan tren.
"Keputusan bidaan itu akan diketahui dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya.
Sementara itu, semasa mengulas mengenai kebimbangan penduduk Taman Tun Dr Ismail, beliau berkata teknologi baharu dalam pengangkutan rel mempunyai kapasiti untuk mengurangkan bunyi dalam pembinaan trek rel.
Penduduk mendakwa mereka akan menghadapi pencemaran bunyi akibat pembinaan MRT.
Amir berkata MRT Corp akan terus melibatkan pemegang kepentingan dan pemilik hartanah yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan itu.
Mengenai pembiayaan, beliau berkata Danainfra Nasional Bhd baru-baru ini menerbitkan program pembiayaan sukuk RM8 bilion untuk membiayai sebahagian daripada projek MRT itu. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment