My Add

Wednesday 1 August 2012

FELDA sumbang RM10,000 kepada kembar Siam

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Ogos, 2012: Nasib sepasang kembar Siam lelaki yang mengalami komplikasi organ di bahagian bawah badan, mendapat perhatian Felda Holdings Berhad apabila entiti itu menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga bayi itu, hari ini.

Sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Tabung Kebajikan Felda itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan kepada bapa kembar itu, Azli Sarban, semasa melawat mereka di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

"Kami berharap bantuan kewangan daripada Tabung Kebajikan Felda ini dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga Azli. Felda mempunyai tabung yang dikhaskan untuk membantu peneroka-peneroka Felda yang terlibat dalam kesusahan," katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.

Beliau berkata tabung kebajikan yang ditubuhkan sejak 1973 itu telah banyak membantu warga Felda yang memerlukan dan bantuan maksimum yang diberikan ialah RM10,000.

"Keutamannya adalah untuk peneroka Felda. Tetapi dalam kes-kes unik seperti ini, kita turut membantu generasi Felda," katanya.

Beliau juga ditemani isterinya Datin Noraini Sulaiman yang turut menyumbangkan peralatan penyusuan untuk keluarga Azli.

Bayi kembar Siam berusia 15 bulan dari Segamat, Johor itu mendapat perhatian umum minggu lepas apabila media mamaparkan kejayaan HKL memisahkan mereka yang bersambung di bahagian tulang pelvis dalam satu pembedahan rumit pada 14 Julai lalu.

Selain bersambung di tulang pelvis, Muaiman dan Muaimin juga berkongsi tiga kaki, lubang dubur, alat kelamin lelaki dan dua pundi kencing.

Sementara itu, Azli, 40, berkata beliau akan menggunakan sumbangan itu untuk kos pemeriksaan susulan kedua-dua anaknya.

"Saya bersyukur di atas sumbangan Felda ini. Alhamdulillah, keadaan kedua-dua anak saya juga bertambah baik.

"Saya difahamkan kita mungkin akan tinggal di HKL untuk tiga bulan lagi bagi mendapatkan pemeriksaan susulan," katanya.

Beliau turut menyifatkan kejayaan pembedahan itu sebagai hadiah Aidilfitri buat keluarganya walaupun terpaksa tabah mengharungi masa depan yang tidak menentu.

Azli, yang bekerja sebagai mekanik sebelum ini, kini tidak menpunyai sumber pendapatan kerana telah berhenti kerja untuk menjaga anak kembarnya sepenuh masa.

Keluarganya kini menumpang di rumah bapanya di Rancangan Felda Kemanis, Johor.

Selain anak kembar Siam itu, Azli dan isterinya, Nazilah Abdullah, 38, juga menpunyai dua anak perempuan lain berumur dua tahun dan sebulan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment