My Add

Thursday 9 August 2012

PWTC dinobat Pusat Persidangan Terbaik Asia

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 09 Ogos, 2012:: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dinobatkan sebagai Pusat Persidangan Terbaik di Asia bagi kategori mesyuarat dan pusat persidangan oleh Anugerah Destinasi Pelancongan Terbaik 2012.

Anugerah anjuran majalah Best Destinations berpangkalan di London itu khusus untuk pengurus mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) serta pengurus pelancongan korporat antarabangsa. 

Pencalonan anugerah dibuat melalui pengundian oleh pengurus pelancongan dari syarikat Fortune 500 serta ahli korporat menerusi e-mel dan laman web 'Best Destinations'.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah H Jaafar yang mengambil alih pengurusan kompleks berkenaan sejak Disember 2009, berkata cabaran yang beliau hadapi ialah membawa perubahan dan mengendalikan perubahan dari segi modal insan serta memperbaharui kelengkapan sedia ada.

"Dengan penganugerahan ini, usaha mula membuahkan hasil," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sejak mula beroperasi pada 1985, PWTC menjadi tuan rumah kepada pelbagai mesyuarat dan persidangan antarabangsa seperti persidangan Komanwel, mesyuarat Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan persidangan Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (Pata).

PWTC yang dikendalikan Putrade Property Management Sdn Bhd, mempunyai ruang pameran seluas 23,375 meter persegi, iaitu terbesar di Kuala Lumpur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment