My Add

Wednesday 1 August 2012

Rakyat Kelantan berbuka bersama Najib Ahad ini

BACHOK, RABU, 01 Ogos, 2012: Rakyat Kelantan berpeluang berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa kunjungan beliau ke negeri ini, pada Ahad. 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata Perdana Menteri dijadual tiba di Bachok pada jam 5 petang.

"Beliau dijadual berbuka puasa bersama rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Perdana di Tangok di sini," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di Balai Polis Jelawat di sini, semalam. 

Pada majlis itu, Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua UMNO Bahagian Bachok, menyampaikan bantuan kepada 20 pesara polis dan anak yatim. 

Katanya, Najib dijadual menunaikan solat sunat Tarawih bersama penduduk tempatan di Masjid Naim, Jelawat di sini. 

Sebelum mengakhiri lawatannya, Najib akan bersama penduduk Parlimen Ketereh untuk 'makan colek' di Yayasan Kemiskinan Kelantan, Melor, Kota Bharu. 

Beliau berkata, kunjungan Najib akan menjadi pemangkin ke arah menjadikan 'Bachok Baru, Bachok Maju' dan hab pendidikan tinggi di kawasan pantai timur khususnya di Kelantan.

Katanya, Bachok kini sudah mempunyai asas yang kukuh dalam bidang pendidikan dengan wujudnya Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Islam Sains dan Teknologi dan Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaya. 

Beliau berkata, sektor pelancongan di sepanjang pantai Bachok juga semakin berkembang dengan pembinaan banyak rumah tumpangan pelancong. 

Awang Adek berkata, beliau juga akan meminta sokongan Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan bagi pembinaan asrama siswa dan siswi UMK yang pelajarnya dijangka bertambah kepada 5,000 orang dalam tempoh lima tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment