My Add

Friday, 17 August 2012

Remaja perempuan dibakar kekasih masih kritikal

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang dipercayai dibakar kekasihnya masih dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Bapanya, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata, Nurul Firzanah dibedah di bahagian leher bagi membolehkan saluran pernafasannya kembali berfungsi seperti biasa.

Beliau berkata, dengan keadaan Nurul Firzanah yang 25 peratus terbakar dan masih kritikal, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lagi membawa sebarang erti kepada keluarganya.

"Isteri saya, Norliyati Abdul Hamid masih tidak dapat menerima tragedi yang menimpa anak kedua daripada tiga adik beradik dan setiap kali masuk ke bilik Nurul, dia akan menangis kerana terbayangkan keletah manja satu-satunya anak perempuan kami itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital di sini hari ini.

Nurul Firzanah sebelum itu dilaporkan koma selepas disimbah petrol dan dibakar dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, selepas keluar bersahur bersama Selasa lepas.

Ekoran kejadian itu mangsa dikatakan mengalami kecederaan di muka, dada dan tangan.

Mat Zaki berkata, selepas kejadian, keluarga kenalan anaknya datang bertemu keluarganya bagi memohon maaf atas tindakan anak lelaki mereka yang berumur 19 tahun itu, namun sebagai bapa, katanya, beliau tidak dapat menerima perbuatan yang dilakukan ke atas anaknya itu.

Katanya, mereka sekeluarga tahu mengenai persahabatan di antara Nurul Firzanah dengan pemuda itu dan tidak menghalang perhubungan itu, namun tidak menyangka perkenalan tersebut membawa derita kepada anaknya.

Susulan kejadian itu, polis Kuala Lumpur memulakan gerakan memburu pemuda itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment