My Add

Saturday, 4 August 2012

RPSI 1Malaysia julang imej negara di dunia

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Ogos, 2012: Penglibatan 16 anggota dari tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk dua peserta wanita dalam Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI 1Malaysia) pada 16 September ini dilihat dapat menjulang imej dan reputasi negara di persada dunia.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, percubaan berenang secara berganti-ganti sejauh 75 kilometer dengan suhu antara 16 dan 19 darjah celsius itu juga mampu memperkasa pengiktirafan global terhadap profil rakyat Malaysia.

Ujarnya, usaha merentasi Selat Inggeris dari Dover, United Kingdom ke Cap Gris Nez, Calais, Perancis sebelum berpatah balik ke Dover itu juga membuktikan rakyat Malaysia mempunyai kapasiti untuk melakukan perkara setanding rakyat asing.

"Kalau suatu masa dahulu, aktiviti ekstrem seumpama itu didominasi bangsa asing dan kita hanya mampu mendengar tentang kejayaan mereka dengan penuh ketakjuban kerana ia bukan sahaja menelan kos yang besar, bahkan mempertaruhkan nyawa.

"Alhamdulillah, hari ini kita boleh berbangga dengan kejayaan yang sama. Dengan izin Allah SWT dan berbekalkan semangat patriotik sejati menerusi laungan 'Malaysia Boleh', satu demi satu tembok cabaran yang kelihatan sukar berjaya ditembusi oleh rakyat kita," katanya ketika merasmikan ekspedisi berkenaan di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Justeru katanya, beliau optimis misi RPSI 1Malaysia akan mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.

Majlis itu turut dihadiri Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles Mohd. Yusof yang juga Penasihat RPSI 1Malaysia.

Hadir sama, Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin selaku penganjur ekspedisi dan jurulatih pasukan, Mohd. Arof Omar yang juga bekas Pegawai Waran 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Lebih manis, ekspedisi itu akan dijalankan pada 16 September iaitu sempena Hari Malaysia dan Hari Ulang Tahun ATM Ke-79," katanya.

Ekspedisi yang dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijalankan dengan setiap seorang daripada 16 peserta berenang sejauh kira-kira 15 kilometer sebelum diganti perenang lain sehingga ekspedisi berkenaan tamat di Dover.

Mengulas lanjut, Zulkifeli berkata, meskipun peserta terpaksa menempuh pelbagai cabaran termasuk arus ombak tidak menentu, keadaan selat yang sibuk dengan laluan kapal dan suhu sejuk, para peserta ekspedisi perlu tegar menempuh cabaran di sana sedaya upaya demi tanah air.

"Mudah-mudahan ia menjadi satu lagi koleksi kejayaan kebanggaan semua. Keberanian dan pengorbanan para peserta dalam menggalas cabaran besar itu amat disanjung tinggi oleh negara, rakyat dan ATM," kata beliau.

Sementara itu, Mohd. Arof berkata, selepas menjalani latihan renang intensif sejauh 10 hingga 12 kilometer dari Pangkalan TLDM menuju ke Teluk Batik, Lumut sebelum ini, kumpulannya kini sudah bersedia untuk 'menawan' Selat Inggeris.

"Kesemua perenang akan berlepas ke United Kingdom pada 22 dan 24 Ogos ini dan akan menjalani latihan ketahanan sejuk, ujian renang selama enam jam dan latihan intensif di Dover sehingga 14 September ini sebelum menyahut cabaran berenang dua hari kemudian," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin menjelaskan, setelah ekspedisi tersebut berjaya, KE7B akan memilih enam perenang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita untuk menjalani latihan intensif bagi memulakan percubaan berenang secara solo pula di Selat Inggeris pada tahun depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment