My Add

Friday 3 August 2012

Saman Majlis Peguam: Plantif boleh pinda pernyataan tuntutan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 02 Ogos, 2012: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz meminda pernyataan tuntutan dalam saman yang difailkan terhadap Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam berhubung mesyuarat agung luar biasa (EGM). 

Hakim Datuk John Louis O'Hara membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Shaharudin Ali yang mewakili Mohd Khairul Azam dan Idza Hajar Ahmad Idzam yang mewakili defendan. 

Shaharudin memberitahu pemberita di dalam penyata tuntutan itu, pihaknya membangkitkan isu sama ada notis dan agenda berbahasa Inggeris yang dikeluarkan kedua-dua badan itu sah ataupun tidak. 

"Badan Peguam dan Majlis Peguam adalah pihak berkuasa awam yang ditubuh oleh Parlimen. Mengikut perlembagaan, segala urusan pihak berkuasa awam mesti guna Bahasa Melayu," katanya. 

Menurut Shaharudin, mahkamah menetapkan 25 September untuk perbicaraan kes tersebut dan ia akan dijalankan di mahkamah terbuka. 

Mohd Khairul Azam memfailkan saman terhadap Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam bagi menuntut satu perisytiharan supaya diputuskan bahawa notis bertarikh 4 Mei untuk memanggil EGM itu sebagai tidak sah dan tidak selaras dengan Akta Profesion Guaman 1976. 

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Khairul Azam yang menganggotai Badan Peguam Malaysia dan juga Majlis Peguam, mendakwa notis memanggil EGM itu dikeluarkan kurang daripada tujuh hari sebelum 11 Mei, selain menyatakan bahawa anggota majlis tersebut tidak dimaklumkan dengan sewajarnya. 

Beliau mendakwa usul yang dibincangkan dalam EGM itu melanggar Akta Hasutan 1948 kerana membincangkan perkara yang di luar bidang kuasa undang-undang yang mengawal selia pihak defendan. 

Mohd Khairul Azam mendakwa bahawa anggota Majlis Peguam sudah diprejudis melalui usul berkenaan dan 14,189 anggota majlis diletakkan dalam keadaan skandal menerusi perbincangan secara terbuka serta bidang profesion mereka dicemuh. 

EGM itu meluluskan usul, yang disokong 939 undi dan dibantah oleh 16 undi, untuk meminta Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri memohon maaf di atas penggunaan kekerasan yang berlebihan terhadap penunjuk perasaan dan wartawan semasa perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment