My Add

Friday 3 August 2012

Selangor akui krisis air akan berlaku: KETTHA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Ogos, 2012: Kerajaan Selangor tahu dan mengakui krisis air akan berlaku di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2014 di sebalik bertegas mengatakan bekalan air terawat mencukupi hingga 2019, menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). 

KeTTHA dalam kenyataan akhbar berkata, bukti kerajaan Selangor mengakui krisis air akan berlaku jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya, ialah apabila ia bersetuju melaksanakan lima daripada lapan projek mitigasi yang dicadangkan kerajaan pusat bernilai RM301 juta.

"Persetujuan kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan projek-projek itu menunjukkan bahawa kerajaan negeri sememangnya mengakui krisis air akan berlaku pada 2014 jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya. 

"Ini menunjukkan bahawa pendirian kerajaan Selangor yang mengatakan bahawa bekalan air terawat mencukupi sehingga 2019, merupakan kenyataan yang tidak disokong oleh fakta," menurut kementerian itu. 

KeTTHA berkata, kerajaan pusat sebelum ini bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM606 juta untuk melaksanakan lapan projek mitigasi itu bagi mengelakkan krisis air di tiga kawasan berkenaan memandangkan kerajaan Selangor tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan loji-loji rawatan air di negeri itu membekalkan air terawat yang mencukupi. 

Kenyataan kementerian itu bertujuan membetulkan beberapa kenyataan yang dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa Exco kerajaan negeri, termasuk Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Penyayang Dr Xavier Jayakumar serta anggota Parlimen Klang Charles Santiago sejak 23 Julai lepas mengenai masalah air di Selangor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment