My Add

Friday 17 August 2012

Tom Daley inspirasi Pandelela

*PANDELELA RinongDatuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan aksi spontan ketika beramah mesra dengan Pandelela Rinong Pamg. Turut sama ialah bapa Pandelela, Pamg ak Joheng (tengah).

PUTRAJAYA, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg bersedia menghadapi tekanan sebagai selebriti baharu sukan tanah air khususnya bagi memenuhi harapan tinggi rakyat terhadap dirinya.

Menjadikan atlet terjun Britain Tom Daley sebagai inspirasinya, pemenang pingat gangsa Olimpik London itu, mahu mengamalkan sikap tenang dan ceria di luar masa latihan.

"Meskipun menjadi tumpuan media dan seluruh rakyat Britain ketika temasya Olimpik lepas, beliau (Tom Daley) tetap fokus pada latihan dan pertandingan selain sentiasa bersikap tenang terutamanya di luar waktu latihan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir ibu dan bapa Pandelela, Hartini Lamim dan Pamg Joheng serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Kontinjen Malaysia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong.

Sebagai penghargaan kerajaan, Najib menyampaikan sumbangan bernilai RM300,000 iaitu Skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) RM100,000 dan Amanah Saham Wawasan sebanyak RM200,000 kepada Pandelela atas kejayaan mengharumkan nama negara dalam kejohanan berprestij itu.

Perdana Menteri juga menyerahkan surat tawaran biasiswa penuh kerajaan daripada Yayasan Tun Abdul Razak untuk membolehkan atlet negara itu melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti di negara ini dalam jurusan pilihannya.

Dalam pertemuan 10 minit itu, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan sedia menghulurkan segala jenis bantuan bagi membolehkan atlet muda itu meningkatkan prestasi dan seterusnya mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Adakah kamu komited untuk Rio (Kejohanan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016) dan apa lagi yang kamu perlukan? Semua dah cukup?," tanya Najib dengan senyuman manis kepada Pandelela.

Najib juga bertanya perasaan Pandelela sewaktu melakukan terjunan dari ketinggian 10 meter dalam pertandingan itu.

"Kamu gementar tak ketika nak mula", tanya Najib.
"Ya tapi lepas itu saya rasa teruja," kata Pandelela.

.Pandelela, 19, juga menerima biasiswa daripada Yayasan Tun Razak iaitu pembiayaan penuh melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti di Malaysia dalam bidang pilihannya.

Pandelela, bagaimanapun berkata buat masa ini beliau belum memutuskan bidang pengajiannya kerana terlalu sibuk dengan latihan.

"Yang pasti saya jenis tidak suka Matematik Tambahan jadi kalau boleh saya akan mengambil jurusan yang tidak perlu belajar subjek itu," katanya dalam nada bergurau.

Pandelela turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas ganjaran yang diberikan dan berazam berlatih lebih gigih bagi mencapai kejayaan di Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Saya juga berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara yang banyak menolong serta Tun Ahmad Sarji (Abdul Hamid selaku Ketua Kontinjen Malaysia) yang sentiasa menyokong saya ketika di Olimpik London," katanya yang berhasrat membelikan hadiah istimewa untuk kedua ibubapanya daripada wang ganjaran berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Pandelela menyambut baik keputusan kerajaan menambah peruntukan bagi pembangunan sukan terjun termasuk melantik empat jurulatih baru serta menaik taraf Pusat Akuatik Nasional.

"Saya percaya dengan peruntukan itu sukan terjun akan menghasilkan lebih banyak kejayaan di kejohanan peringkat dunia selain dapat mengasah lebih ramai bakat baharu," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment