My Add

Friday 17 August 2012

7 sekeluarga didakwa sebabkan kematian

BUTTERWORTH, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: Sepasang suami isteri bersama lima anggota keluarga yang lain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian anak perempuan mereka dalam satu upacara pemujaan dua minggu lepas.

Chua Seng Ban, 35, dan Lim She Lee, 35, dituduh menyebabkan kematian Chua Wan Xuen, 3, dan mereka didakwa bersama-sama Chua Seng Hoo, 29, (bapa saudara mangsa), Ong Soh Guat, 67, (nenek), Loke Xin Lan, 21, (kakak), Chua Ah Luan, 40, (ibu saudara) dan seorang anak saudara lelaki mereka berusia 16 tahun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu dalam satu upacara pemujaan di sebuah rumah dua tingkat milik keluarga itu di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah dekat sini pada pukul 7.20 petang hingga 10.52 malam, 5 Ogos lepas.

Bagaimanapun, pembantu rumah keluarga itu yang pada awalnya turut direman kerana didakwa bersubahat menyebabkan kematian kanak-kanak itu dibebaskan daripada sebarang tuduhan dan menjadi saksi pendakwaan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Seng Ban dan Shee Lee turut menghadapi tuduhan tambahan iaitu mendedahkan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal dalam kejadian itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendedahkan anak mereka kepada kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment