My Add

Sunday 5 August 2012

Tubuh Jawatankuasa Khas bukti ketelusan PM

KOTA BHARU, SABTU, 04 Ogos, 2012: Keputusan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji secara adil dan telus isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia menunjukkan ketelusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerajui kerajaan.

Sambil menyifatkan penubuhan itu langkah terbaik menyelesaikan isu tersebut, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyifatkan ia mampu memastikan semua negeri terlibat dapat menikmati hasil petroleum secara adil dan saksama.

Kata beliau, ia juga merupakan sebahagian transformasi ekonomi yang diterjemahkan Najib untuk rakyat negara ini.

"Jawatankuasa khas ini bukan sekadar melayan Kelantan tetapi diambil mengambil kira kepentingan Kelantan, Terengganu, Pahang dan mungkin Johor. Bagi saya ini transformasi ekonomi.

"Tentunya apa yang dilontarkan jawatankuasa khas ini setelah mengadakan perbincangan dan perundingan kalau pun tidak referendum tetapi rundingan dengan kerajaan negeri serta maklum balas daripada rakyat akan menjadi panduan Perdana Menteri untuk membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bachok dan Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Teknik Bachok, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Sebelum ini, Najib menyatakan kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara dan wakil kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan Pusat tidak pernah menzalimi Kelantan dan tanggapan seperti itu sengaja diwujudkan Pas untuk meniupkan api kebencian rakyat terhadap kerajaan.

"Kalau dari segi hukum ekonomi Kelantan dapat lebih daripada apa yang disumbangkan. Cukai yang dikutip di negeri ini hanya RM300 juta tetapi sumbangan kerajaan Pusat untuk pembangunan kira-kira RM5 bilion.

"Kononnya kerajaan menzalimi penduduk Kelantan hanyalah sentimen daripada pemimpin Pas sedangkan hakikat sebenar amat berbeza," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, jawatankuasa khas tersebut merupakan langkah tepat dalam membincangkan isu berkenaan kerana wang royalti hasil petroleum wajar disalurkan secara terus kepada rakyat tanpa digunakan bagi tujuan lain.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan Pas Kelantan perlu menerima jawatankuasa khas itu tanpa sebarang persepsi lain sekiranya benar-benar ikhlas.

"Saya percaya majoriti rakyat akan menyokong cadangan ini. Pas pula akan guna pelbagai alasan selain mendakwa wang tersebut merupakan hak mereka dan perlu diberikan kepada kerajaan negeri.

"Kalau Pas ikhlas, tidak perlu timbul kerenah," katanya.

Dalam pada itu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan yang terdiri daripada Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar); Profesional Kelantan (KelPro), Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) dan Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda) berharap penubuhan jawatankuasa khas tersebut akan membuatkan Pas berhenti daripada terus mempolitikkan isu berkenaan.

Wakil gabungan tersebut, Kamaruddin Kassim dalam kenyataan di sini berkata, ia sekali gus membuktikan kerajaan Pusat yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dengan kehendak rakyat termasuk di Kelantan.

"Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya mengambil iktibar daripada tindakan bertanggungjawab kerajaan Persekutuan ini dan diharap lebih prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk Kelantan selepas ini.

"Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri dan semua individu terlibat kerana usaha gigih mereka dalam merundingkan hal ini bagi pihak penduduk Kelantan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment