My Add

Friday 3 August 2012

Tukang jahit ditembak dalam cubaan merompak

KULIM, JUMAAT, 03 Ogos, 2012: Seorang tukang jahit cedera parah ditembak tiga lelaki yang cuba merompak kedainya di Jalan Merdeka di sini, tengah hari tadi. 

Leow Chin Pin, 67, cedera parah di perut dan keadaannya dilaporkan stabil setelah menerima rawatan di Hospital Kulim. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, penjenayah dipercayai menggunakan pistol buatan sendiri dan peluru penabur. 

"Tukang jahit itu berada d dalam kedai bersama seorang pembantu apabila tiga lelaki masuk untuk memintanya meminda seluar. Sebaik sahaja mangsa menjawab tidak boleh kerana hari ini ialah hari cuti, seorang daripada lelaki itu lalu mengacukan pistol kepadanya yang sedang duduk di atas kerusi dan meminta wang daripadanya. 

"Lelaki itu kemudiannya melepaskan satu das tembakan yang mengenai perut Leow apabila dia berkata dia tidak mempunyai wang. Para perompak kemudiannya melarikan diri," kata Ghuzlan kepada Bernama. 

Beliau berkata, pihak polis yang tiba kemudiannya mendapati mangsa terbaring berlumuran darah dalam keadaan separuh sedar. 

Polis turut menemui peluru yang dilepaskan perompak. 
Ketiga-tiga lelaki itu yang dipercayai datang ke kedai terbabit dengan sebuah kereta sedang dikesan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment