My Add

Friday 3 August 2012

Wanita ditahan bantu siasatan kes samun

KOTA BHARU, KHAMIS, 02 Ogos, 2012: Seorang wanita berumur dalam lingkungan 20-an dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di negeri ini, berjaya ditahan sepasukan anggota polis di Kampung Galok, Pasir Mas, awal hari ini.

Wanita berkenaan ditahan pada kira-kira pukul 2 pagi selepas kereta Proton Waja yang dinaikinya bersama dua suspek lelaki terbabas apabila polis melepaskan tembakan yang mengenai tayar belakang kenderaan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, dua suspek lelaki itu bagaimanapun melarikan diri melalui kawasan semak berhampiran.

"Sepasukan anggota polis daripada Cawangan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan terserempak dengan kereta dinaiki ketiga-tiga suspek dalam keadaan mencurigakan lalu mengekori mereka sehingga ke Kampung Galok ketika menjalankan rondaan malam tadi.

"Pasukan polis kemudiannya menahan kenderaan yang dinaiki suspek dan seorang anggota kemudiannya memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa untuk melakukan pemeriksaan, bagaimanapun suspek kemudiannya bertindak memecut kereta dan hampir melanggar anggota berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan anggota polis berkenaan terpaksa melepaskan tembakan bagi menghalang ketiga-tiga suspek melarikan diri.

Katanya wanita itu, yang berasal dari Pasir Puteh, ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak dan hasil pemeriksaan menemui sebilah pemotong besi, parang panjang dan sebatang pengumpil besi di dalam kenderaan terbabit.

"Siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 379a/411 kerana memiliki kenderaan curi, Seksyen 6 kerana memiliki senjata merbahaya dan Seksyen 28 kesalahan kecil kerana memiliki peralatan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata, rekod polis mendapati kereta yang digunakan ketiga-tiga suspek telah dilaporkan dicuri di Kota Baharu oleh pemilik kenderaan sehari sebelum kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek yang melarikan diri itu diminta memaklumkan kepada pihak polis memandangkan mereka dipercayai terbabit dengan kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan di negeri ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment