KUCHING: Meminta maaf adalah pilihan terbaik, namun kerosakan telah pun berlaku dalam isu memburuk-burukkan tahap keselamatan Johor yang didakwa dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Singapura, baru-baru ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun Guan Eng menggunakan alasan ia adalah majlis tertutup, mesej negatif itu telah disampaikan dan mungkin disebarkan kerana ia dibuat oleh seorang Ketua Menteri.
Secara sinis beliau mempersoalkan, jika dalam majlis tertutup itu Johor diburukkan, adakah wujud kemungkinan negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak turut diberi gambaran negatif.
"Saya harap hentikan keadaan ini dan Guan Eng mesti minta maaf tentang apa yang dilakukan tetapi kerosakan telah pun berlaku.
"Kerana kita yakin Singapura juga adalah rakan kongsi kita, jumlah pelancong juga ramai datang dari Singapura dan yang dapat manfaatnya adalah Johor," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Kemas Negeri Sarawak 2010, di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd.Shafie menyifatkan Guan Eng tertekan dengan kejayaan Johor menarik pelaburan asing sehingga membuat kenyataan negatif itu walaupun bergelar Ketua Menteri.
Katanya, kepimpinan kerajaan di peringkat pusat baik Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan menteri-menteri lain sewaktu melakukan promosi pelaburan di luar negara tidak memburukkan negeri di bawah kerajaan pembangkang.
"Tidak ada langsung tindak tanduk dinyatakan jangan melabur di Selangor dan Pulau Pinang kerana dia (kerajaan) pembangkang.
"Sebaliknya, digalakkan semua pelabur datang sama ada dari Asia Barat, India, Eropah dan China untuk melabur di Malaysia, itulah semangatnya," tegasnya. - Utusan
No comments:
Post a Comment