Nazri Abdullah
Harakahdaily
KEPALA BATAS: Pas kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun Pas di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, Presiden Pas itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini. Lebih 7000 hadirin hadir di kongres itu.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan kepada hadirin. |
"Pas adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah.
"Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi Pas tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.
Selepas merdeka pula, Pas yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat.
"Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.
Kepercayaan terhadap Pas yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.
Jika dahulu katanya, Pas hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini Pas sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong Pas yang terdiri dari kaum Cina dan India.
Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin Pas juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa Pas hanya untuk golongan agama.
Sehubungan itu ujarnya, Pas kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.
"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini Pas adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.
Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden Pas ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.
Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut.
SEBAHAGIAN daripada kepimpinan dan ahli Pas pada sambutan Ulang Tahun Ke-60 Pas di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam. - MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN |
PAS tidak paksa bukan Islam terima Hudud
Sementara itu, Abdul Hadi menjelaskan, undang-undang Islam termasuk Hudud hanya pilihan dan bukan paksaan untuk orang bukan Islam.
Menurutnya, ianya sama seperti ajaran agama itu yang menegaskan bahawa tidak boleh memaksa bukan Islam memeluk Islam.
"Pas tak paksa orang bukan Islam terima hudud. Islam beri pilihan seperti tidak memaksa mereka memeluk Islam," katanya.
Apa yang berlaku waktu ini tambahnya, undang-undang Islam itu telah dikelirukan oleh UMNO sehingga bukan sahaja menakutkan orang bukan Islam malah menyesatkan orang Islam sendiri.
"Undang-undang jenayah syariah ini dimomokkan kepada rakyat melalui media yang diupah UMNO.
“Kita cuba memperkenalkan undang-undang jenayah syariah terutamanya hudud dan takzir tapi mereka sengaja memetik hudud sahaja dengan tujuan menakutkan orang bukan Islam dan menyesatkan orang Islam," katanya.
Bukan ciptaan Pas
Mengulas lanjut isu yang sedang dipolemik itu, beliau berkata hudud bukan undang-undang baru yang dicipta Pas, tetapi undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Kewajipan melaksanakannya sama seperti kewajipan-kewajipan lain yang mesti dilaksanakan oleh orang Islam.
"Hudud bukan ditetapkan oleh Pas, bukan oleh Nabi, bukan oleh ulamak tetapi ia ditetapkan oleh Allah," tegasnya.
Kewajipan perlaksanaan undang-undang Islam itu katanya lagi adalah bertujuan mendidik manusia menjadi baik dan bukan menzalimi mereka.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut sebak sewaktu mengulas perjuangan presiden-presiden Pas terdahulu yang lebih awal meninggalkan kita.
Dengan suara tersekat-sekat, beliau menyeru seluruh ahli Pasbersedia menyerahkan diri kepada perjuangan menegakkan agama Allah seperti yang ditunjukkan pemimpin terdahulu.
"Dalam sambutan 60 tahun, marilah kita mengenang pimpinan awal yang telah mendahului kita.
"Almarhum Ahmad Fuad, Dr Abbas Alias, Dr burhanuddin Helmi, Yusof Rawa, Datuk Fadzil Noor dan lain-lain.
"Marilah kita menjadi mereka yang tetap jatidiri, tidak mengubah haluan, tidak menebuk bahtera, malah melajukan perjalanan bahtera mencapai keredhaan Allah untuk menang di dunia dan menang di akhirat," katanya disambut laungan takbir hadirin
No comments:
Post a Comment