My Add

Tuesday 4 October 2011

Hormati pandangan ahli Jawatankuasa Khas Parlimen: Hadi

Datuk Seri Abdul Hadi
                                  Harakahdaily 
KUALA LUMPU: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) menaruh harapan agar Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang akan dibentuk dapat menyelesaikan segala kepincangan proses pilihan raya yang menjadi perdebatan umum.

Ahli Parlimen Marang itu sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Pembentukan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen di Dewan Rakyat hari ini berkata, segala pandangan yang dikemukakan samaada daripada pihak kerajaan mahukan Pakatan Rakyat harus diterima dan dinilai sebaik mungkin.

"Saya harap pembentukan jawatankuasa ini, segala isinya diambil secara positif, pandangan-pandangan hendaklah dihormati, jangan dibakul sampahkan sahaja," kata beliau.

Ini kerana katanya rakyat sangat mengharapkan pembaharuan dan pembersihan sistem pilihan raya termasuk di peringkat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

"Kami mengalu-alukan pembaikan Suruhanjaya Pilihan Raya dan mestilah melibatkan semua pihak.

"SPR sendiri perlu melihat daftar pemilih yang masih bercelaru di mana jumlah pengundi yang tidak seimbang dengan penduduk dan jumlah kelahiran yang terlalu ramai dan terbukti adanya pendatang asing didaftarkan bagi menjamin kemenangan parti pemerintah," katanya yang juga ADUN Rhu Rendang, Terengganu.

Beliau turut berpandangan, undi pos tidak lagi sesuai digunakan kepada anggota tentera kerana negara tidak lagi berada dalam suasana darurat.

"Mengenai undi pos, ini bukan lagi zaman berperang dengan komunis... tentera bukan dalam keadaan darurat. Mereka boleh dibawa mengundi di kawasan masing-masing, boleh diberi cuti tetapi undi pos terus digunakan," katanya lagi.

Abdul Hadi turut kesal dengan sikap kerajaan yang berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya sedangkan di negara lain, ianya diketahui awal agar semua pihak dapat membuat persiapan rapi, bukan di pihak kerajaan sahaja.

"Undi berulang kali berlaku bahkan tarikh pilihan raya menjadi rahsia. SPR tidak boleh menentukan tarikh pilihan raya dengan sendiri. Banyak negara yang tarikh pilihan raya sudah diketahui awal tapi di negara kita tarikh pilihan raya menjadi teka teki, seolah-olah digunakan awal-awal lagi untuk diambil kesempatan oleh parti pemerintah sahaja," katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa perubahan kawasan pilihan raya dilakukan agar jumlah pengundi seimbang di setiap kawasan.

"Antaranya perubahan kawasan pilihan raya, mengikut perlembagaan 8 tahun atau 10 tahun sekali diubah kawasan pilihan raya, ditambah kawasan di negeri-negeri.

"Bagi Terengganu, Kelantan, Kedah sudah puluhan tahun tak ada tambahan kawasan pilihan raya..yang ditambah di Johor, Sarawak dan negeri lain.

"Ada kawasan yang jumlah pengundi sampai 80 ribu... di Baling, Tumpat dan banyak lagi daerah tak dipecahkan kawasan ini.

"Mengapa proses tambahan tak dilakukan? Adakah untuk kepentingan dan menjamin kemenangan parti pemerintah?" soalnya.

No comments:

Post a Comment