My Add

Sunday 2 October 2011

Kalimullah Hassan, Azman perlu jelaskan isu jumpa PAP


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta ahli perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Datuk Mohamed Azman Yahya memberikan penjelasan mengenai dakwaan mereka dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin kanan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim berkata, jika benar seperti yang didakwa oleh beberapa pihak itu, kedua-dua ahli perniagaan berkenaan perlu menjelaskan perkara yang dibincangkan pada majlis tersebut.

''Paling utama orang ramai mahu mengetahui apakah perbincangan itu menjurus kepada perkara yang berkaitan dengan kepentingan dan rahsia negara," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada dakwaan beberapa pihak bahawa Kalimullah dan Mohamed Azman turut bersama-sama Guan Eng dalam majlis makan malam bersama pemimpin kanan PAP pada 12 Ogos lalu.

Ruslan menambah, Mohamed Azman juga perlu menjawab dakwaan bahawa Kalimullah kerap kali mengatur perjumpaan antara pemimpin DAP dan PAP.

Jika perkara itu benar kata beliau, maka orang ramai berhak mempersoal dan mempertikaikan sejauh mana kesetiaan Kalimullah terhadap negara.

"Perkasa memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan sesekali menjadi alat atau ejen negara luar dan cuba menjadi petualang di negara sendiri," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ruslan berkata, kedua-dua ahli perniagaan itu juga perlu membuat kenyataan segera berhubung dakwaan meminta Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim menutup mulut dalam isu pembelian saham Eastern & Oriental (E&O) oleh Sime Darby Bhd., (Sime Darby) dan Malaysia Airlines System Bhd., (MAS) dengan Air Asia.

Jelas beliau, sikap membisu kedua-dua ahli perniagaan itu yang tidak membuat sebarang pengakuan atau penafian menyebabkan orang ramai tertanya-tanya sejauh mana penglibatan mereka dalam isu tersebut.

No comments:

Post a Comment