My Add

Tuesday 4 October 2011

Pas perlu benar-benar bersedia laksana Hudud

KUALA LUMPUR:Pelaksanaan hukum Hudud di negara ini dikhuatiri akan menjadi 'racun' kepada agama Islam jika Pas belum benar-benar bersedia untuk melaksanakannya.

Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, Pas harus mengkaji secara teliti hasratnya untuk melaksanakan undang-undang Islam itu sebelum memuktamadkan keputusan mereka.

"Cita-cita Pas untuk melaksanakan hukum Hudud bukanlah mustahil, tetapi ia perlu dikaji secara teliti bagi mendapatkan sokongan terhadap penguatkuasaan hukuman tersebut.

"Jika tidak, pelaksanaan tersebut akan dilihat sebagai racun terhadap agama Islam sendiri apabila ia mendatangkan ketidakadilan dan huru-hara kepada rakyat," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Pas yang tetap mahu melaksanakan hukum Hudud walaupun rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, segala halangan yang bakal wujud mesti dikenalpasti sebelum hukum Hudud boleh dilaksanakan.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan supaya ia tidak memudaratkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berbeza anutan agama.

"Perbincangan bersama penasihat perundangan adalah langkah persediaan terbaik yang Pas perlu lakukan daripada memutuskannya sendirian.

"Dengan cara itu, Pas akan lebih tahu mengenai sistem perundangan negara dan mengenalpasti kemampuan masyarakat dalam melaksanakan hukum hudud," jelasnya.

Tambah beliau, Pas perlu menyediakan keterangan dan prosedur berkaitan hukum hudud agar tidak timbul sebarang kekeliruan di kalangan rakyat negara ini. Utusan

No comments:

Post a Comment