Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penguatkuasaan dilakukan lebih awal selaras keputusan Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mahu tindakan tegas dikenakan serta-merta, lapor Bernama.
"Seramai 193 PATI ditahan di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor bermula 20 hingga 28 Oktober lalu kerana tidak memiliki dokumen pendaftaran yang dikeluarkan semasa proses pendaftaran.
"Selain itu, lima majikan turut dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengarah imigresen negeri, di Putrajaya..
Hishammuddin berkata, proses penguatkuasaan itu akan berlangsung sepanjang proses pemutihan, yang akan disusuli dengan penguatkuasaan pasca pemutihan yang akan dilakukan dengan skala lebih besar dan menyeluruh.
Katanya, proses penguatkuasaan juga dimantapkan dengan penggunaan Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Nasional (NERS) yang baru diperkenalkan yang membolehkan status warga asing disemak dalam masa sebenar.
"Antara maklumat yang boleh diakses oleh pegawai penguatkuasaan ialah profil warga asing, majikan, gambar, status keberadaan semasa termasuk tempoh sah laku pas dan permit, lokasi tempat tinggal dan tempat bekerja.
"Sistem ini dapat mengelakkan isu pemalsuan dokumen dan identiti. Bagi warga asing yang tidak membawa dokumen, status mereka akan tetap dapat disemak serta-merta melalui data biometrik," katanya.
Mengenai proses pemutihan Program 6P yang bermula 10 Oktober lalu, Hishammuddin berkata seramai 27,514 PATI sudah didaftarkan, membabitkan 2,208 majikan di seluruh negara, sehingga semalam.
Katanya, sepanjang tempoh proses pemutihan itu, kerajaan juga melaksanakan proses pengampunan membabitkan dua kategori iaitu PATI yang menyertai proses pendaftaran dan ingin terus meninggalkan negara dan PATI yang menyerah diri secara sukarela.
"PATI berkenaan boleh terus berurusan dengan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan Memo Periksa Keluar tanpa dikenakan sebarang tindakan," katanya.
Hishammuddin berkata, majikan yang mempunyai keperluan mendesak untuk mendapatkan pekerja asing boleh memohon mendapatkan pekerja pada kalangan PATI tidak bermajikan yang sudah berdaftar ketika proses pendaftaran.
Majikan boleh mendapatkan senarai PATI tersebut melalui laman web KDN di http://www.moha.gov.my yang turut memaparkan prosedur lengkap bagi memudahkan majikan membuat permohonan.
No comments:
Post a Comment