My Add

Tuesday, 1 November 2011

RM15.9 bilion subsidi petrol, diesel; RM1.97b air luar bandar

SELASA, 1 November, 2011: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15.9 bilion untuk subsidi petrol dan diesel tahun ini bagi memastikan harganya terkawal dan tidak membebankan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, perbelanjaan sebenar subsidi petrol dan diesel tahun lepas adalah sebanyak RM9.6 bilion.

Beliau menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, yang ingin tahu mengenai jumlah sebenar subsidi petrol dan diesel yang ditanggung oleh kerajaan.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat namun dalam masa yang sama aspek kemampuan kewangan kerajaan untuk tanggungan subsidi juga perlu diberi perhatian.

"Justeru, pemberian subsidi perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar pemberian subsidi dapat disalurkan secara tepat kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya,” katanya.

Siang Chai berkata, penstrukturan semula subsidi petrol dan diesel di mana apabila subsidi dikurangkan sebanyak RM0.05 seliter dua kali tahun lepas dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi lebih RM1.7 bilion. 

RM1.97 bilion untuk projek bekalan air luar bandar

Bernama juga melaporkan, kerajaan membelanjakan RM1.97 bilion bagi melaksanakan 1,089 projek bekalan air kawasan luar bandar di seluruh negara yang dijangka siap Disember tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, peruntukan itu meningkat berbanding RM413.4 juta melibatkan 554 projek tahun lepas dan RM297.38 juta melibatkan 671 projek pada 2009.

"Peningkatan ini menunjukkan kerajaan sentiasa komited membangunkan segala kemudahan untuk penduduk luar bandar,” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau).

Hasan berkata, kerajaan turut membelanjakan RM1.36 bilion bagi melaksanakan 582 projek bekalan elektrik di kawasan luar bandar tahun ini, dan daripada jumlah itu, 146 projek telah siap manakala bakinya akan disiapkan pada Disember.

Peruntukan itu turut menunjukkan peningkatan berbanding RM703.1 juta melibatkan 387 projek tahun lepas dan RM410.38 juta melibatkan 296 projek pada 2009.

Katanya, sebanyak 54,374 buah rumah telah dibangunkan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di kawasan luar bandar sejak 2009 hingga bulan lepas melibatkan peruntukan berjumlah RM1.36 bilion. Pada tahun 2011 sehingga September, sejumlah 7,514 unit rumah telah siap dibina yang mana perbelanjaan kos adalah sebanyak RM154.54 juta.

Hasan berkata bagi tahun lepas sebanyak RM431.6 juta telah dibelanjakan bagi menampung pembinaan 16,926 rumah manakala pada tahun 2009 sebanyak RM551.1 juta dibelanjakan membina 19,467 rumah. 

No comments:

Post a Comment