My Add

Friday 25 November 2011

417 kes denggi dilaporkan minggu lalu

PUTRAJAYA, JUMAAT, 25 November, 2011: 
SEBANYAK 417 kes demam denggi tanpa kes kematian dilaporkan pada minggu ke-46 dari 13 hingga 19 November lalu, meningkat sebanyak 50 kes berbanding 367 kes dengan satu kematian yang dicatat pada minggu sebelum itu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata jumlah kes untuk minggu ke-46 itu menunjukkan jumlah tertinggi yang dilaporkan sejak 19 minggu lalu.

Beliau berkata, pada minggu ke-46 itu, 11 negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelum itu dengan Pulau Pinang menjadi negeri yang menunjukkan peningkatan kes selama empat minggu berturut-turut manakala kes di Selangor meningkat tiga minggu berturut-turut.

Kes denggi di Kedah meningkat daripada lapan kepada 20 kes, Selangor daripada 150 kepada 160 kes, Johor daripada 16 kepada 24 kes, Terengganu daripada sembilan kepada 16 kes, Perak daripada 35 kepada 42 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada 48 kepada 55 kes. 

Di Melaka ia meningkat daripada tujuh kepada 13 kes, Pulau Pinang daripada 16 kepada 20 kes, Perlis daripada satu kepada empat kes, Negeri Sembilan daripada 11 kepada 14 kes dan Wilayah Persekutuan Labuan yang tiada kes demam denggi pada minggu terdahulu mencatat dua kes pada minggu ke-46. 

Dr Hasan berkata, sebanyak 65 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dengan lima lokaliti hot spot ditemui iaitu di Projek Perumahan Rakyat(PPR) Desa Tun Razak di Cheras, Flat Taman Gembira di Klang Lama, Seksyen 2 Wangsa Maju (Menara Alpha Kondo) di Setapak, Taman Sri Petaling di Klang Lama serta di Seksyen 35 (Teres B Alam Impian) di Klang. 

Beliau berkata, sebanyak 62 kes dilaporkan berlaku di lima lokaliti panas itu. Sehubungan itu beliau menggesa masyarakat supaya memberi kerjasama dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes di sekitar rumah masing-masing. 

Katanya, pemimpin masyarakat setempat juga diminta memainkan peranan lebih aktif bagi menggerakkan aktiviti gotong-royong di kawasan masing-masing, terutama di kawasan yang mengalami kes denggi. 

"Sempena musim cuti persekolahan ini, orang ramai perlu memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar rumah mereka jika meninggalkan rumah melebihi seminggu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment