SELASA, 1 November, 2011: Enam rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara menfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Bernama, mereka memfailkan permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, 25 Oktober lalu melalui Tetuan Chooi & Company. Media memperoleh salinan permohonan itu, hari ini.
Permohonan itu akan didengar di hadapan hakim, Datuk Rohana Yusuf, 14 November ini.
Dalam permohonan itu, enam pemohon iaitu, Teo Hoon Seong seorang doktor, V Vinesh seorang jurutera elektrik, Paramjeet Singh seorang usahawan, Yolanda Sydney Agustin seorang doktor, Sim Tze Wei seorang penterjemah dan arkitek perisian Leong See See, menamakan SPR sebagai responden.
Mereka yang menetap di United Kingdom itu, antara lain memohon satu deklarasi bahawa mereka sebagai warganegera Malaysia yang menetap di luar negara adalah berhak didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir.
Mereka juga memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan SPR melalui surat bertarikh 9 September lalu, yang tidak mendaftarkan mereka sebagai sebagai pemilih tidak hadir.
Selain itu, mereka juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan SPR untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir, dan perintah lain yang perlu bagi membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir atau pengundi pos pada pilihan raya umum akan datang.
No comments:
Post a Comment