My Add

Thursday 24 November 2011

Akta Perhimpunan Aman pastikan negara pilihan pelabur

Mukhriz Mahathir
PUTRAJAYA, KHAMIS, 24 November, 2011: Rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang dibentangkan di Parlimen semalam akan dapat mengekalkan kestabilan negara sekali gus memastikan Malaysia terus menjadi pilihan pelabur antarabangsa.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kestabilan politik merupakan faktor utama yang menjadi pertimbangan pelabur sebelum membuat keputusan pelaburan di sesuatu negara termasuk Malaysia.

Beliau memberi contoh demonstrasi jalanan yang berlaku di ibu negara beberapa bulan lalu menyebabkan para pelabur dari Jepun bertanya-tanya mengenai tahap kestabilan di Malaysia.

‘‘Sekiranya berlaku demonstrasi jalanan di satu tempat, media akan mengulang tayang paparan yang menunjukkan keadaan hura-hara dan keadaan ini akan mewujudkan gambaran seakan-akan ia berlaku di seluruh negara.

‘‘Kita justeru perlu membuat pilihan sama ada untuk mengekalkan kestabilan yang sedia ada atau kita mahu berdepan dengan demonstrasi jalanan seperti yang berlaku di negara lain,” katanya.

Mukhriz berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman dibentangkan di Dewan Rakyat semalam dan ia melarang protes jalanan selain mensyaratkan permit polis perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum mengadakan perhimpunan. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment