SHAH ALAM, SABTU 25 November, 2011: SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru pegawai-pegawai Mahkamah Syariah khususnya para Hakim Syarie agar bersedia berhadapan cabaran-cabaran besar dan melengkapkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu agar keyakinan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah tidak luntur.
"Beta dimaklumkan bahawa kes-kes di Mahkamah Syariah kini bukan lagi hanya tertumpu kepada kes-kes perceraian sahaja bahkan kini ia melibatkan kes tuntutan harta yang bernilai jutaan ringgit, juga kes-kes yang mencabar sensitiviti masyarakat seperti permohonan pengisytiharan bukan seorang Islam," titah baginda.
Selain daripada itu, titah baginda, kecekapan dan ketegasan dalam pengendalian kes akan dapat menegakkan keadilan.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di Persiaran Masjid Seksyen 5 di sini, semalam.
Bagi mencapai matlamat itu, baginda bertitah, semua pihak yang terlibat terutamanya para peguam syarie, pendakwa syarie dan pihak yang bertikai perlu bersama-sama membantu mahkamah dengan membentangkan fakta yang sebenar agar keadilan dapat ditegakkan.
"Seseorang hakim itu akan melanggar etika kehakiman apabila membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas kehakiman hingga menjejaskan kedudukannya sebagai seorang hakim," titah baginda.
Baginda bertitah bahawa baginda masih lagi mendapat aduan daripada orang ramai tentang kes-kes Mahkamah Syariah terutama permohonan cerai dan fasakh serta pembahagian harta yang mengambil masa yang lama untuk kes diselesaikan hanya disebabkan perkara-perkara remeh yang sepatutnya boleh dielakkan.
"Justeru itu dengan adanya bangunan baru serta kemudahan-kemudahan yang diberikan, beta menyeru kepada pihak JAKESS supaya dapat mengatasi masalah ini agar kes-kes atau perbicaraan dapat dijalankan mengikut jadual dan diharapkan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang sepatutnya," titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga bertitah, baginda tidak mahu lagi mendengar aduan-aduan negatif terhadap Institusi Kehakiman Syariah yang secara tidak langsung menjejaskan imej agama Islam di negeri ini.
Keutamaan perlu diberikan kepada kes-kes yang melibatkan rumahtangga agar tidak ada sesiapa yang teraniaya akibat kelalaian atau kecuaian pihak tertentu, titah baginda.
Baginda bertitah, pada masa yang sama Mahkamah Syariah juga perlu dilihat sebagai sebuah institusi yang berintegriti dan berkualiti tinggi kerana ini penting dalam usaha membina keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah yang dulunya sering dianggap sebagai mahkamah kelas dua.
Bangunan baru ini juga menempatkan Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, dewan muktamar serta bilik hadhanah, bagi pengendalian kes-kes keluarga. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment