My Add

Friday 4 November 2011

Kelantan lantik 20 ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud

JUMAAT, 04 November, 2011: Mesyuarat Exco kerajaan Pas Kelantan kelmarin mengesahkan pelantikan 20 ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud yang akan dimaklumkan dengan surat pelantikan masing-masing dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, mesyuarat Exco juga memutuskan melantik Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusof ke dalam jawatankuasa sebagai tambahan kepada 19 orang yang dicadangkan sebelum ini.
Siti Zailah

Namun, ketika ditanya tarikh mereka akan dipanggil untuk bermesyuarat, Mohd. Amar berkata, sebarang gerak kerja hanya dapat dilakukan setelah pihaknya menerima jawapan daripada ahli dilantik sama ada bersetuju atau tidak untuk terlibat dalam jawatankuasa tersebut.

"Jawatankuasa Teknikal Hudud belum lagi mesyuarat kerana pihak Exco baru sahaja mengesahkan pelantikan mereka dan kita dalam proses menghantar surat.

"Kita kena tengok jawapan mereka dahulu sama ada setuju atau tidak sebelum Pengerusi Jawatankuasa memanggil mereka untuk mesyuarat," katanya kepada Utusan Malaysia. 

Katanya, pelantikan Siti Zailah menjadikan Jawatankuasa Teknikal Hudud bakal mempunyai dua ahli wanita termasuk Senator Mumtaz Md. Nawi.

Beliau berkata, ahli jawatankuasa yang lain antaranya Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh; Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Pengarah Penjara Kelantan, PKP Hussin Johari.

Pada 24 Oktober lalu, kerajaan Pas Kelantan bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Mohd. Amar dilaporkan berkata, jawatankuasa itu dianggotai 19 ahli dalam kalangan profesional termasuk beliau sendiri selaku Timbalan Pengerusi 1 dan sekiranya perlu keahlian mungkin ditambah.

Menurutnya, peranan jawatankuasa berkenaan antara lain mengkaji kemungkinan pelaksanaan enakmen itu berikutan wujud pandangan mengatakan ia boleh dilaksanakan tanpa perlu meminda perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

No comments:

Post a Comment