My Add

Thursday 24 November 2011

Pastikan kualiti air terjamin - Tiong Lai

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 November, 2011: 
PIHAK berkuasa negeri Kelantan digesa mengambil langkah segera dalam memastikan kualiti air yang dibekalkan kepada rakyatnya terjamin daripada sebarang risiko penyakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berdasarkan analisis yang dijalankan pihaknya, kandungan logam yang tinggi di dalam air negeri tersebut perlu dirawat secepat mungkin kerana ia boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

"Apabila kajian ini dibuat dan mendapati bahawa terdapat risiko kepada pengguna, pihak berkaitan perlu menggalas tanggungjawab ini dengan menaik taraf loji pembersihan air mereka.

"Kita akan memanjangkan perkara ini kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi mengambil tindakan susulan," katanya kepada pemberita di Parlimen, semalam.

Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia dalam laporan khasnya mendedahkan, uji kaji makmal terhadap sampel air di negeri itu pada setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan bukan saja mendapati ia mengandungi logam-logam berat, malah bakteria berbahaya termasuk E.coli.

Lebih membimbangkan, E.coli turut ditemui dalam sampel air yang dibekalkan ke rumah-rumah oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).
Oleh itu, kata Tiong Lai, penduduk Kelantan dinasihatkan tidak menggunakan air tersebut tanpa proses penapisan dan pendidihan yang betul.

"Jangan mengambil remeh perkara ini kerana ia melibatkan kemudahan asas kita. Buat masa ini, kami akan memastikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terus memantau dan memastikan penambahbaikan kualiti bekalan air ini dilakukan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment