My Add

Thursday 24 November 2011

Pelajar kurang cemerlang berpeluang ke universiti

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 November, 2011: 
GABUNGAN Wawasan Generasi Felda (GWGF) bersedia membantu golongan muda yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Setiausahanya, Kamarulzaman Mohamad berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima 135 permohonan untuk mengikuti program yang dikenali sebagai Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Kata beliau, program berkenaan ditawarkan oleh kerajaan bagi membantu anak-anak miskin Melayu dan bumiputera yang ibu bapanya berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

"MDAB adalah satu program di bawah naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwujudkan bagi memberi peluang kepada golongan muda yang berada di bandar dan luar bandar.

"Sehingga hari ini, kesemua permohonan tersebut sudah dihantar kepada pihak MDAB Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sebahagian daripada pemohon telah pun mendapat tempat untuk mengikuti kursus Pra Perdagangan dan Pra Sains bagi kemasukan November 2011," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan, Kamarulzaman berkata, program itu harus dimanfaatkan oleh golongan muda yang masih berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Menurut beliau, syarat kelayakan bagi mengikuti dua kursus yang ditawarkan iaitu Pra Perdagangan dan Pra Sains ialah lulus SPM atau yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dengan mendapat minimum tiga kredit termasuk Bahasa Melayu dan lulus Bahasa Inggeris dan Matematik atau Matematik Tambahan.

Tambahnya, pelajar yang lulus dalam program MDAB layak ditawarkan ke program diploma mengikut syarat-syarat kemasukan yang telah ditetapkan oleh UiTM.

"Pihak GWGF telah memaklumkan mengenai program ini ketika sesi jelajah ke tanah-tanah rancangan Felda seluruh Malaysia," katanya.

Beliau berkata, warga Felda yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung MDAB boleh hubungi 03-55214800 atau layari laman web www.gwgf.org.my atau menerusi sukarelawan GWGF yang ditempatkan di 317 tanah rancangan Felda seluruh negara.

No comments:

Post a Comment