My Add

Thursday, 3 November 2011

PEWARIS gesa Karpal, Soi Lek mohon maaf perlekeh Hudud


Karpal Singh
Oleh MOHD.FAHMI ZAKI


KHAMIS, 03 November, 2011: Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu (Pewaris) hari ini menggesa Karpal Singh dan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memohon maaf kepada semua rakyat beragama Islam atas kenyataan mereka yang tidak berasas mengenai hukum hudud yang disiarkan di dalam beberapa akhbar berbahasa Inggeris, pada 29 dan 30 Oktober lalu.

Pengerusi Biro Guaman Pewaris, Kamarul Izwan Busu Piah berkata, kenyataan yang dikeluarkan kedua-duanya tidak berpandukan kepada fakta malah hanya perasaan emosi terhadap agama Islam, lapor Utusan Malaysia.

“Tanggapan mereka bahawa hukum hudud itu dapat menimbulkan kesan buruk dalam perkembangan ekonomi negara, selain menakutkan pelancong asing yang ingin berkunjung ke sini adalah tidak wajar dikeluarkan.

Soi Lek
“Oleh itu, kedua-duanya perlu berjanji untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang menggugat sensitiviti masyarakat beragama Islam,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan terhadap dua pemimpin politik tersebut di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Soi Lek yang juga Presiden MCA dalam kenyataan itu menyatakan hukum hudud mundur dan akan menimbulkan kesan buruk dalam pelaburan negara selain menjejaskan rakyat yang bukan beragama islam

Karpal yang juga Pengerusi DAP pula menyatakan hukum berkenaan akan membuatkan kadar jenayah meningkat, manakala orang yang ingin membuat jenayah boleh memeluk agama Islam.

Jelas Kamarul Izwan, tindakan dua parti politik itu bertentangan dengan Perlembagaan kerana telah menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam.

“Kami sebagai persatuan yang mempertahankan agama Islam kecewa dengan tindakan itu kerana ia adalah serangan yang sengaja dilakukan bagi memperlekehkan kesucian agama lain,” katanya.

Zulkipli seterusnya menyeru para pemimpin bukan Islam supaya tidak meneruskan agenda memburuk-burukkan agama suci itu kepada masyarakat luar.

No comments:

Post a Comment