My Add

Thursday 24 November 2011

PKPMI gesa Indonesia selesai ugutan bunuh

JAKARTA, KHAMIS, 24 November, 2011: 
PERSATAN Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) menggesa pihak berkuasa Indonesia segera mencari penyelesaian terhadap ugutan bunuh ke atas pelajar Malaysia di negara itu.

Menurut Yang Dipertua PKPMI, Khairul Hafidz AlKhair Khairul Amin, persatuan itu juga mengharapkan pihak polis segera menjejaki individu yang mengancam membunuh pelajar Malaysia menerusi laman sosial Twitter pada Isnin lalu.

"Kami PKPMI mengharapkan agar kes ini diselesaikan dengan aman. Segala bukti telah pun diserahkan kepada pihak polis. Wajah individu itu juga telah dikenal pasti. Oleh itu, tidak perlu pihak polis melengahkan kes ini dan tangkapan harus dilakukan secepatnya," kata Khairul Hafidz dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Menurut laporan SAHARUDIN MUSTHAFA, Isnin lalu, sejurus selepas pasukan Garuda Muda kalah kepada Harimau Muda dalam final pertandingan bola sepak di kejohanan Sukan SEA ke-26, seorang pengguna Twitter dengan pengenalan @hikmat-maswara menghantar ugutan bunuh terhadap pelajar Malaysia di Indonesia.

Ugutan berbunyi Tomorrow I will kill Malaysia student at the University of Padjadjaran (esok saya akan bunuh pelajar Malaysia di Universiti Padjajaran) di Jatinangor, Bandung turut disebarkan kepada sebahagian artis Malaysia.

Biarpun pengguna Twitter itu telah memohon maaf atas tulisannya itu, namun kepada PKPMI, ugutan berkenaan tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis (Polsek) Jatinangor pagi semalam oleh YDP PKPMI cawangan Bandung, saudara Haikal Ambri Rosle bersama pimpinan PKPMI cawangan Bandung.

Menurut Khairul Hafidz, tujuan laporan berkenaan dibuat ialah sebagai langkah berjaga-jaga agar ugutan yang serupa tidak berlaku lagi pada masa depan.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, PKPMI juga ingin mendapat jaminan daripada pihak polis tempatan mengenai keselamatan lebih 1,000 pelajar Malaysia di Universiti Padjadjaran, Bandung.

"Saya juga memohon Universiti Padjadjaran agar dapat melindungi keselamatan pelajar Malaysia di fakulti perubatan, perubatan gigi dan juga farmasi.

"Bahkan PKPMI juga bersedia untuk duduk semeja berbincang bersama pihak universiti mengenai soal keselamatan pelajar," katanya.

PKPMI Pusat juga kata Khairul Hafidz, telah meminta semua 16 cawangan PKPMI di seluruh Indonesia memantau keselamatan semua pelajar kita di kawasan dan melaporkan kepada PKPMI Pusat seandainya berlaku sebarang ugutan atau provokasi pasca perlawanan bola sepak tempoh hari.

Biar sekalipun tercetus isu seperti ini, namun Khairul Hafidz berkata, hubungan baik pelajar-pelajar Malaysia dengan rakan-rakan dan tetangga Indonesia masih terpelihara.

"Sewaktu perlawanan kami 'bermusuh' buat sementara kerana masing-masing menyokong pasukan bola sepak kesayangan masing-masing namun setelah perlawanan kami tetap bersahabat baik, tiada yang berubah," jelas Khairul Hafidz lagi. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment