RABU, 2 November, 2011: Kerajaan akan mengenal pasti 1,100 syarikat bumiputera berdasarkan kriteria yang jelas dan proses pemilihan yang terbuka serta telus bagi Program Enterpris Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) yang dilancarkan pada 20 Julai lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebelum pemilihan akhir, penilaian akan dibuat terhadap yang memohon mengikut kriteria yang ditetapkan.
"Seterusnya pemilihan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Teras yang turut dianggotai oleh wakil-wakil dari agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang mahu tahu mekanisme yang diambil kira bagi mengelak tanggapan wujudnya monopoli dan ketidaktelusan dalam program Teras itu.
Najib berkata, syarikat-syarikat yang terpilih dalam program yang bertujuan membangunkan generasi usahawan bumiputera bertaraf dunia di dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) itu kemudiannya akan diumumkan kepada awam.
"Ini adalah langkah untuk menentukan pemilihan syarikat ini dibuat secara terbuka dan telus,”katanya.
Menerusi program itu, syarikat bumiputera yang terlibat akan diubah menjadi kumpulan syarikat besar serta berdaya maju dan dapat menyumbang sehingga 20 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.
No comments:
Post a Comment