My Add

Monday 31 October 2011

Kisah 2 budak lelaki 7, 8 tahun mencuri 26 rumah di Putrajaya

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Sebenrnya cerita kelakuan dua budak lelaki berusia tujuh dan lapan tahun ini bukanlah pelik sangat, tetapi kepintaran mereka teruji.

Namun begitu kegiatan mereka mencuri di 26 buah rumah penduduk di sekitar Presint 8 di Putrajaya, patut menjadi perhatian dan diambil berat oleh ibubapa sekelian.

Menurut laporan Bernama, berdasarkan siasatan polis, dua budak itu memasuki rumah berkenaan menggunakan kunci yang ditinggalkan di luar rumah, biasanya di dalam kasut, apabila pemilik rumah keluar bekerja pada waktu pagi.

Kegiatan mereka terbongkar, apabila mereka sendiri memberitahu rakan-rakan mengenai apa yang telah dilakukan mereka sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Putrajaya, Supt Abdul Razak Abd Majid hari ini berkata, seorang rakan mereka terkejut apabila diberitahu barang-barang rumahnya sendiri juga telah dicuri.

Menurut beliau, kedua-dua budak lelaki tersebut bukan sahaja memberitahu kegiatan mereka, malah menunjukkan barang-barang yang mereka telah curi. 

Berang dengan cerita itu seorang rakan sekolah mereka memberitahu bapanya.

Terkejut mendengar perkara tersebut, bapa berkenaan segera membuat laporan kepada pihak polis.


Kedua-dua budak itu ditangkap secara berasingan pada 5.40 petang dan 6.30 petang di rumah masing-masing pada hari Ahad, 28 Oktober lalu.

Setelah disoal siasat pihak polis, kedua-dua mereka mengaku melakukan kegiatan tersebut.

Lapan sarjana bincang kebenaran dua karya agung Melayu

Oleh AMRAN MULUP

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Isi kandungan dua buku, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah akan dinilai kebenarannya oleh lapan sarjana tempatan dan luar negara pada Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, esok.

Pengurus Projek Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Hazzlan Samah berkata, persidangan yang berlangsung selama dua hari itu akan turut mengupas isi kandungan dua karya agung Melayu tersebut dan kesesuaiannya dijadikan buku teks sejarah dan sastera.

“Para sarjana akan turut membentangkan lapan kertas kerja dan membincangkan relevannya dua karya agung itu serta kesesuaiannya digunakan pada hari ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Menurutnya, tiga sarjana dari luar negara yang akan menghadiri persidangan tersebut ialah Prof. Emeritus Dr. E. Ulrich Kratz dari London; Profesor Liang Liji dari Universiti Beijing, China; dan Profesor Dr. Heddy Shri Ahimsa Putra dari Universitas Gadjah Mada, Indonesia.

Lima sarjana tempatan pula katanya, ialah Dr. Muhammad Uthmad El-Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shaharuddin Maarof (UM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Yusof Hashim (KUIM), Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar (USM) dan Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abdul Hamid.

Menurutnya, seramai 300 peserta daripada pelbagai agensi akan menghadiri persidangan tersebut. Orang ramai dipelawa menghadiri persidangan bermula 9 pagi.

Persidangan tersebut anjuran Yayasan Karyawan Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri, IKSEP dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM). 

Audit: Pas kemuka petisyen kepada Agong

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Pas akan mengemukakan satu petisyen kepada Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembaziran dan salah urus kewangan negara seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, petisyen itu sebagai suara bantahan dari rakyat yang akan dikumpul melalui satu laman web yang akan dilancarkan dalam masa terdekat, lapor Harakahdaily.

"Kita akan lancarkan petisyen dalam internet...dalam tempoh seminggu dua lagi. Kita akan kumpul nama-nama rakyat dan bawa kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata petisyen itu bagi memberi maklum kepada Tuanku dan bagaimana baginda boleh bertindak atas bidang kuasa baginda untuk menasihatkan kerajaan.

‘Hanya kumpul maklumat’

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Kesungguhan kerajaan Pas Kelantan melaksanakan hukum Hudud terus menjadi tanda tanya apabila Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengakui pelaksanaannya bukan diputuskan oleh jawatankuasa teknikal pelaksana Hudud yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Isnin lalu.

Kerajaan Pas Kelantan juga dilihat tidak serius dalam isu berkenaan apabila dimaklumkan jawatankuasa itu hanya berperanan untuk mengumpulkan maklumat, belum lagi bermesyuarat kerana surat pelantikan ahli-ahlinya masih belum diserahkan.

Ahmad bagaimanapun turut mengakui bahawa pelaksanaan hudud di negeri ini juga bergantung kepada maklum balas yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa berkenaan kepada kerajaan negeri kelak, lapor Utusan Malaysia.

“Bukan-bukan (pelaksanaan bukan diputuskan oleh jawatankuasa). Dari segi kanun dah lengkap dah, tak timbul masalah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 24 Oktober lalu, kerajaan Pas Kelantan bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika memaklumkan perkara itu berkata, jawatankuasa itu dianggotai 19 ahli di kalangan profesional termasuk beliau sendiri yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi 1, dan sekiranya perlu keahlian mungkin ditambah.

PRU-13: Jentera Barisan Nasional perlu bersiap sedia

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu bersiap sedia dengan perancangan dan pelaksanaan yang berkesan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan dalam usaha memastikan BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi di samping merampas semula kerusi yang dikuasai oleh parti pembangkang.

Sambil mengimbas kembali prestasi BN dalam pilihan raya umum lalu, Ahmad Zahid berkata, apa yang berlaku berpunca daripada kelalaian dan kesilapan BN dan UMNO sendiri, lapor Utusan Maalaysia.

"Bagaimanapun ada hikmah di sebalik peristiwa itu supaya kita sentiasa bermuhasabah atas kesilapan yang dilakukan di samping menjadikan ia sebagai teladan untuk kita lebih berhati-hati pada sama akan datang, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup Kolokium Gagasan 1Malaysia UMNO Bahagian Bagan Datoh, di Pulau Pangkor, semalam.

Ahmad Zahid berkata, semua pendokong parti dan jentera penggerak pilihan raya BN mesti sentiasa berazam untuk memperoleh kerusi melebihi dua pertiga bagi memudahkan parti menubuhkan kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

Katanya, selama memerintah BN terbukti boleh mentadbir lebih cekap, telus dan adil kepada semua kaum.

Ahmad Zahid juga mahu pelbagai program digerakkan secara berterusan sehingga pilihan raya diadakan.

Mengenai kawasan Bagan Datoh, beliau berkata, di samping mempertahankan kerusi Parlimen dan DUN Rungkup yang dimenangi, jentera BN juga perlu berusaha mengembalikan kerusi DUN Hutan Melintang kepada parti berkenaan.

"Kekalahan satu kerusi boleh merosakkan cita-cita BN menubuhkan semula kerajaan negeri dan kemenangan setiap kerusi adalah penting untuk membantu menubuhkan kerajaan mengikut amalan demokrasi," katanya.

Pas tidak bersedia laksana hudud

Mustapa Mohamed
Oleh AZRAN FITRI RAHIM

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah bersedia atau membuat perancangan yang teliti untuk melaksanakan Hudud di negeri ini biarpun enakmen mengenainya diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir 20 tahun dahulu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu Hudud ditimbulkan semula oleh Pas kerana pilihan raya umum semakin hampir bagi menarik sokongan rakyat.

Beliau berkata, perancangan yang teliti termasuk penubuhan jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan sepatutnya dibuat lebih awal sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu melaksanakannya, lapor Utusan Malaysia.

"Untuk laksanakan hudud bukan perkara kecil, amat penting perlu ada perancangan dan kerja yang teratur, bukan hanya bercakap sejak 20 tahun lalu tanpa sebarang tindakan.

"Hari ini baru hendak tubuh jawatankuasa teknikal hudud kerana pilihan raya semakin hampir, jika Pas benar ikhlas, persedian untuk laksanakan hudud dibuat sejak bertahun-tahun dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 278 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Utusan Malaysia pada 24 Oktober lalu melaporkan kerajaan Pas Kelantan mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Jawatankuasa itu dianggotai 19 ahli daripada kalangan profesional termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah selaku Timbalan Pengerusi 1 dan sekiranya perlu keahlian mungkin ditambah.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan Pas Kelantan perlu memastikan keadaan di negeri ini benar-benar kondusif sebelum hudud dilaksanakan.

"Perlu ada keadilan dalam perkara ini, fakir miskin dibantu, pentadbir yang bersih, masih banyak perkara perlu dipenuhi terlebih dahulu," katanya.

Selesai secara berhemah - TPM


MUHYIDDIN Yassinmenyampaikan amanat pada perasmian Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-22 di Dewan Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan, semalam.

Oleh Hisyamuddin Ayub 

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan tegas kepada semua pucuk pimpinan parti-parti komponen supaya segera menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi secara berhemah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya terdapat sebarang percanggahan pendapat, ia tidak boleh dipendam atau diperbincangkan tanpa kehadiran pihak-pihak terlibat.

Tegasnya, perbuatan bercakap belakang dan tidak diselesaikan secara bermuafakat akan menyebabkan wujudnya pihak yang akan tersinggung dan berkecil hati hingga boleh menjejaskan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang semakin hampir, lapor Utusan Malaysia.

"Jika ada isu atau permasalahan, setiap pihak boleh membuat teguran tetapi ia perlulah dibuat secara sopan santun dan tidak membangkitkan satu situasi yang mana ada pihak akan disakiti," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-22 di Dewan Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengakui bahawa PRU13 yang akan datang merupakan satu cabaran yang agak luar biasa dan paling sengit dalam sejarah.

"Pihak pembangkang akan melakukan apa sahaja demi untuk memburukkan imej BN di mata masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua pemimpin BN dan parti komponen perlu bersatu padu serta mengukuhkan ikatan sedia ada, sekali gus memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap kepimpinan BN.

Tambah beliau, setiap parti perlu memberi tumpuan terhadap gerak kerja masing-masing dan melipat ganda usaha bagi meraih sokongan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan taklimat LDP berhubung persiapan parti komponen itu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Parti Liberal Demokratik (LDP) akan terus menyokong perjuangan Barisan Nasional (BN) terutama dalam prinsip perkongsian kuasa dan kesamarataan, kata Presiden parti itu, Datuk Liew Vui Keong.

Katanya, prinsip yang menjadi tunggak dan asas penting bagi BN itu mesti dikekalkan dan dihormati demi kesinambungan pucuk pimpinan BN.

"Walau apa pun yang telah berlaku dalam perkembangan politik yang menyebabkan konflik dan kegusaran antara beberapa personaliti, ia tidak patut diungkit bagi memprejudiskan prinsip BN secara keseluruhannya.

"Prinsip penting yang telah lama wujud bagi mempertahankan kepentingan negara itu haruslah sentiasa dijadikan sebagai tiang kekuatan dan asas penting bagi kestabilan politik dalam BN dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian Kongres LDP ke-22 di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Vui Keong, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, LDP akan sentiasa bersama sebagai satu keluarga yang besar dalam BN bagi meneruskan perjuangan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.


Elak tanggapan negatif


ISNIN, 31 Oktober, 2011: Laporan Ketua Audit Negara 2010 sepatutnya lebih bersifat komprehensif dengan menjelaskan secara terperinci bagaimana sesuatu perkara itu diklasifikasikan sebagai perbelanjaan.

Utusan Malaysia memetik Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi sebagai berkata, ia penting bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat bahawa berlaku penyelewengan dan salah laku oleh pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi dalam perbelanjaan yang dilaporkan.

"Sebagai contoh, Kementerian Pelajaran dikatakan berbelanja melebihi peruntukan sebenar bagi perbelanjaan pengurusan 2010.

"Hakikatnya, kementerian telah mendapat peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diterima untuk perbelanjaan tersebut termasuk elaun perjalanan guru tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di Kiala Lumpur, hari ini.

Puad Zarkashi

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 bahawa sembilan kementerian atau jabatan berbelanja RM3.73 bilion melebihi peruntukan keseluruhan yang diluluskan.

Sembilan kementerian itu adalah Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Mohd. Puad turut hairan bagaimana laporan berkenaan projek bekalan air bersih di luar bandar menerusi program Perigi Tiub (Tube Well) hanya menyentuh dua syarikat iaitu Rossington Consolidated Sdn. Bhd. (RCSB) dan Duta Sierra Development Sdn. Bhd.

Katanya, sebuah lagi syarikat iaitu Azair Sdn. Bhd. juga mempunyai kelemahan dan patut ditegur dalam melaksanakan program tersebut di Sabah dan Sarawak.

Berhubung laporan bahawa hanya dua daripada 300 makmal komputer sekolah rendah yang dirancang dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Sabah berjaya disiapkan, beliau berpendapat Ketua Audit Negara sepatutnya membuat pendedahan yang lebih telus.

Katanya, ini termasuk mendedahkan bahawa masalah yang berbangkit adalah berpunca daripada pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan ingin mengaut keuntungan semata-mata.

"Bagaimanapun, setiap laporan Ketua Audit Negara perlu diambil secara positif walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mendesak pihak berkuasa terutama SPRM mengambil tindakan segera menyiasat kes penyelewengan dalam perbelanjaan di jabatan kerajaan seperti yang didedahkan dalam laporan audit itu.

Tsu Koon berkata, langkah itu akan membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadi lebih telus.

"Siasatan perlu dilakukan segera terutama bagi kes berkaitan pembelian barang yang dibayar dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran. Perkara ini sudah menjadi buah mulut orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti Gerakan di sini hari ini.

Tsu Koon memberi contoh, pendedahan laporan audit mengenai harga tiga barang yang dibeli oleh Jabatan Taman Laut Malaysia berjumlah RM56,350 amat mengejutkan ramai pihak sedangkan harga pasarannya tidak semahal itu.

Martabatkan semula Bahasa Melayu

Oleh SAIFULIZAM MOHAMMAD

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu kelapan yang berakhir hari ini mahu Bahasa Melayu dimartabat dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.

Pada masa sama, kongres mengumumkan penubuhan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan yang berperanan sebagai badan pemantau usaha-usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selain itu, kerajaan didesak menggunakan istilah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti diperuntukkan di dalam Perlembagaan dan bukannya Bahasa Malaysia, lapor Utusan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Resolusi Kongres, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (gambar) ketika membentangkan resolusi tersebut berkata, kongres juga menggesa semua kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta segera menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Sebanyak lapan ketetapan diputuskan iaitu;

* Sistem pendidikan - Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran hendaklah bertegas iaitu dengan berlandaskan Perlembagaan serta akta berkaitan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. Sebarang dasar yang melanggar undang-undang seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) hendaklah dilarang.

* Kerajaan Tempatan - Kerajaan negeri dikehendaki menyeragamkan peruntukan undang-undang berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan nama jalan, bangunan dan iklan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dan begitu juga urusan meluluskan permit dan lesen hendaklah selaras dengan kedudukan bahasa kebangsaan.

* Ekonomi dan kewangan - Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara hendaklah melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan ekonomi dan perniagaan serta menjadikan bahasa itu sebagai penggerak utama sistem ekonomi negara.

* Pengajian tinggi - Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua tahap pendidikan selain berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang keilmuan.

* Perkhidmatan awam - Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua tadbiran negara dan menjadikan JPA sebagai pelindung bahasa kebangsaan.

* Media, komunikasi dan penyiaran - Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan pemimpin negara sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada seluruh rakyat.

* Perlembagaan - Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua tahap mahkamah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi menegakkan keadilan berasaskan undang-undang.

* Pemasyarakatan Persuratan Melayu : Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan jabatan hendaklah sentiasa berusaha memperbanyakkan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua bidang ilmu.

Sementara itu, Pengerusi Kongres, Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar dalam ucapan penangguhan meminta semua pihak khususnya golongan pemimpin supaya menjadi peneraju utama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pelajar antarabangsa turun ke bendang tanam padi

SEBAHAGIAN pelajar antarabangsa (dari kiri), Simon Uuoletz (Jerman), Sharon Ferrari (Itali), Kozue Toyama (Jepun), Kathi Goetc (Jerman) dan Alice Paccamiccio (Itali) gembira turun ke sawah untuk menanam padi secara tradisional di Kampung Sungai Bakong, Kangar, Perlis, semalam.

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Menarik sungguh laporan Bernama apabila sekumpulan 10 pelajar, yang kebanyakannya dari Jerman, semalam meredah lumpur untuk menikmati pengalaman menanam padi secara tradisional di Kampung Sungai Bakong dekat Kangar menerusi program Mai Turun ke Bendang.

Mereka yang memakai pakaian tradisional masyarakat petani Perlis adalah para peserta program pertukaran pelajar Antarabudaya Malaysia yang berada di Kangar antara tiga bulan dan setahun.

Para peserta itu bukan sahaja mendalami budaya hidup masyarakat tempatan tetapi ada di antaranya yang boleh menguasai Bahasa Melayu dalam tempoh yang singkat.

Bagi Meveen Patzelt, 19, dari Jerman, dia gembira dapat mengenali budaya masyarakat tempatan dan tidak berasa sukar untuk bergelumang dengan lumpur sawah walaupun ia pengalaman pertama.

Pelajar perempuan yang boleh bertutur bahasa Melayu teruja dengan kegiatan penanaman padi secara tradisional yang masih diamalkan meskipun industri padi di negara ini sedang menuju proses kemodenan.

Seorang lagi peserta perempuan program itu, Daniela Reiter, 15, berkata, pengalaman turun ke sawah yang diusahakan penduduk tempatan, Othman Ludin, 60, itu tidak mungkin diperoleh di negara kelahirannya, Jerman.

Reiter yang telah lebih tiga bulan berada di negara ini juga boleh bertutur bahasa Melayu dan teruja dengan keindahan budaya masyarakat di sini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Antarabudaya Malaysia, Yahya Mat Hassan berkata, setiap tahun 300 peserta terbabit dengan pertukaran pelajar iaitu 200 pelajar negara ini yang menyertai program di luar negara dan 100 pelajar asing memasuki negara ini.

Beliau berkata, Antarbudaya Malaysia yang wujud sejak 54 tahun lalu bernaung di bawah AFS (American Field Service) yang diperkenalkan 10 tahun lepas.

Yahya berkata, saban tahun AFS mengatur pertukaran kira-kira 12,000 pelajar daripada 70 buah negara yang sekali gus mewujudkan 400,000 sukarelawan yang terdiri daripada keluarga angkat, jiran keluarga angkat dan bekas-bekas peserta program pertukaran pelajar.

Menurutnya, AFS adalah pertubuhan bukan mencari keuntungan tetapi berusaha mewujudkan suasana selamat dan aman di kalangan negara-negara peserta melalui program seumpama itu.

Kesan daripada program itu, AFS dapat melahirkan masyarakat yang terbuka dan mengamalkan nilai hidup yang baik termasuk bertoleransi, menghormati budaya dan agama kaum lain dan berintegriti.

Sebelum itu, isteri Menteri Besar Perlis, Datin Seri Asiah Asmuni melancarkan program “Mai Turun ke Bendang” dengan harapan ia dapat dijadikan acara tahunan.

Ini kerana kehadiran para pelajar antarabangsa ke kawasan bendang boleh mendedahkan mereka kepada kehidupan masyarakat Melayu yang kaya dengan keunikannya termasuk melalui amalan penanaman padi secara tradisional.

Beliau kemudiannya menyaksikan kegirangan para pelajar berkenaan menanam padi dengan lumpur turut melekat di wajah mereka ketika kerja-kerja penanaman itu. 

Pas tuduh Soi Lek cetus polemik agama

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Pas mengecam tindakan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang cuba mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama dalam kenyataannya memburukkan undang-undang Islam, terutamanya Hudud.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, Soi Lek akhir-akhir ini telah banyak mencerobah dasar-dasar Islam dalam komentarnya yang melampaui batas susila bermasyarakat yang menjamin kebebasan beragama dan saling menghormati antara agama.

Lebih malang kini, kata Tuan Ibrahim ialah sikap UMNO yang menjadi tulang belakang BN yang diam membisu terhadap beberapa kritikan melampau parti-parti dalam komponen BN terhadap ajaran Islam, lapor Harakahdaily.

“Sikap lepas tangan Perdana Menteri dan para pemimpin UMNO menggambarkan UMNO hanya berminat menjaja isu agama sebagai modal politik daripada menjamin sikap hak beragama dilaksanakan,” kata beliau.

Pas, katanya menyangkal keras kenyataan Soi Lek bahawa dengan pelaksanaan hukum Hudud menyebabkan pelabur tidak akan datang dan menakutkan masyarakat bukan Islam.

Tambahnya, sedangkan Arab Saudi yang melaksanakan sistem perundangan Islam menjadi rakan pelabur utama China dan negara Barat.

Soi Lek
“Para pelabur sangat mengharapkan satu jaminan keselamatan terhadap pelaburan mereka dan ini dibuktikan dengan kejayaan pelaburan mereka di negara yang melaksanakan syariat Islam.

“Sikap hormat terhadap agama lain untuk mempraktik ajaran masing-masing tidak pernah dibantah oleh umat Islam dan inilah intipati kepada teras perpaduan negara. 


"Namun Pas kesal sikap campurtangan melampau beliau akan mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama,” terang Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu juga menyelar kejahilan Soi Lek dengan memberikan contoh kemajuan negara Iran yang turut melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbirannya.

"Kita ambil Iran sebagai contoh. Walaupun melaksanakan undang-undang Islam, negara itu menerima pelaburan langsung asing (FDI) sehingga US$3.6 bilion tahun lalu.

"Jika kuasa-kuasa besar tidak memaksakan sekatan atau sanction ke atas Iran, adalah diyakini jauh lebih banyak FDI melimpah masuk ke negara itu," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, apa yang mendukacitakan dalam kenyataan Soi Lek ialah kebimbangan beliau kepada pelaksanaan hukum Islam yang hanya akan dikenakan kepada umat Islam sahaja; yang bertujuan menyelamatkan masyarakat dan negara dari kejahatan penjenayah samada terhadap harta atau nyawa dan keselamatan masyarakat.

“Kejahilan akibat berkawan dengan UMNO menyebabkan beliau yang gagal menyelesaikan masalah dalaman MCA, beliau kini cuba menyembunyikan kelemahan pentadbirannya dan menarik sokongan masyarakat Cina dengan menyerang hukum Islam,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga menambah tindakan bacul Soi Lek hanya menambah kebencian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap MCA.

“Sebab sebahagian rakyat sudah tidak terkejut kerana umum mengetahui ia datang daripada seseorang yang mempunyai latar belakang yang tidak melayakkan seseorang menjadi pemimpin berwibawa,” terang beliau.

Muhyiddin: Rakyat tiada pilihan kerajaan terbaik selain BN

AHAD,30 Oktober, 2011: Rakyat tidak mempunyai pilihan kerajaan yang lebih baik selain daripada Barisan Nasional (BN). kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Muhyiddin Yasin
Timbalan Perdana Menteri yakin gandingan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) menjadi teras dan asas penting bagi mempertahankan kedudukannya sebagai satu-satunya parti politik yang mampu mentadbir negara dengan baik dan cemerlang. 

Demiikian antara tofik penting ucapan beliau sepanjang lawatan seharinya ke Sabah hari ini, lapor Bernama.

Semasa merasmikan Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri di Kota Kinablu, Muhyiddin berkata, rakyat di negara ini lebih terpelihara, malah bertuah berada di bawah pentadbiran BN berbanding kebanyakan negara lain.

"Dalam tempoh 54 tahun kemerdekaan negara dan kemerdekaan di Sabah kurang sedikit daripada (usia) itu, kita telah menganjak pembangunan masyarakat kita ke satu kedudukan yang lebih baik.

"Situasi negara kita yang aman, damai dan makmur terhasil atas kebijaksanaan pemimpin dan masyarakat yang mendukung prinsip kerjasama, perpaduan, saling membantu dan menghormati di antara satu sama lain,” katanya. 

Jelasnya, bagi sebuah negara yang mempunyai rakyat majmuk, kepimpinan negara sejak dahulu telah mengiktiraf perbezaan budaya dan kepercayaan sebagai kekuatan untuk membangunkan negara.

Muhyiddin berkata, kejayaan kerajaan di bawah BN menyatupadukan serta membangunkan rakyat berbilang kaum dan agama turut diiktiraf oleh seluruh dunia.

Gandingan parti komponen dalam BN jadi asas penting

Ketika berucap merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) ke-22 di Sandakam. Muhyiddin bercakap tentang gandingan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional. 

Menurut beliau, gandingan itu menjadi teras dan asas penting untuk mempertahankan kedudukan sebagai satu-satunya parti politik yang dapat mentadbir negara dengan baik dan cemerlang.

Sehubungan itu, Muhyiddin mahu apa yang selama ini menjadi prinsip dan asas perjuangan BN untuk sama-sama mendukung perjuangan dalam BN perlu diteruskan dan diperkukuhkan.

Oleh itu, semangat saling membantu, tolong-menolong, memahami tugas dan tanggungjawab setiap parti dalam BN adalah amat penting, katanya.

"Lebih penting sekarang ini ialah kerana kita akan berhadapan dengan cabaran yang hebat iaitu Pilihan Raya Umum Ke-13 yang kita akan hadapi mungkin dalam satu tempoh tidak berapa lama lagi,” katanya lagi. 

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, soal perpaduan di antara parti dalam BN adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian dan dilakukan sepanjang masa dengan mengambil kira ia akan menambah atau menokok sokongan rakyat kepada kerajaan.

Setuju serah kuasa kepada Sabah, Sarawak urus projek pendidikan


Semasa merasmikan Persidangan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-26 di KDCA Penampang. Muhyiddin memberitahu. Kementerian Pelajaran bersetuju menurunkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak untuk menguruskan pemberian kontrak projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri itu. 

Katanya. terdapat kewajaran untuk menurunkan kuasa itu memandangkan Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang besar terutama daripada segi jumlah atau saiz sekolah.

"Sebenarnya dulu memang begitu...projek pendidikan di Sabah dan Sarawak di bawah jabatan kita yang ada di peringkat negeri tetapi beberapa tahun kebelakangan ini ia diurus pula oleh kementerian.

"Saya dapati memang ada kewajaran untuk kita turunkan balik kuasa kepada Sabah dan sarawak. Satu cara ialah memberi kuasa kepada pengarah negeri untuk melihat bagaimana projek tertentu yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama diuruskan," katanya. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sebagai mengulas saranan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada kontraktor Sabah untuk memperoleh kontrak bagi program yang mendapat peruntukan kerajaan persekutuan. 

Sehubungan itu, beliau meminta bahagian pembangunan kementerian supaya meneliti "keupayaan yang ada" terutama bagi kedua-dua negeri itu untuk menguruskan kontrak pembangunan pendidikan. 

"Walaupun kita sudah setuju pada dasar, kita mahu tahu "dia ada kapasiti" atau tidak untuk uruskan...kita tidak mahu lepas itu terganggu kerana tidak ada tenaga manusia atau sumber yang ada untuk menguruskannya. 

"Tetapi secara prinsipnya saya sudah setuju dan mungkin pada peringkat awal projek kecil yang kita biasa buat yang ditawarkan di peringkat pusat kita boleh turunkan dulu...mungkin di bawah RM5 juta yang tidak membabitkan kontrak yang besar...kontrak yang besar kita perlu tengok kapasiti dulu," katanya. 

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beberapa faktor yang perlu diambil kira termasuk kontraktor yang ditawarkan projek pendidikan mesti berwibawa. 

"Juruperunding juga mesti ada. Setiap kerja ada juruperunding yang beri nasihat termasuk nilai kontrak dan bidang-bidang yang perlu diteliti sebelum kita laksanakan sesuatu projek (pembangunan pendidikan). 

Mengenai gesaan Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Sabah kepada kerajaan Persekutuan untuk membenarkan sekolah kerajaan, jenis kebangsaan membuat pilihan mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Muhyiddin berkata mereka berhak untuk menyampaikan pandangan mereka berhubung perkara itu. 

"Tetapi kita pun dalam kerajaan dan badan-badan yang terbabit juga ada pandangan. Pandangan kita bukan saja setakat kehendak ibu bapa mungkin kalau ditanya mereka kata "ya" saja mereka tidak mengetahui latar belakang...adakah keupayaan dan adakah guru bahasa Inggeris cukup. 

"Ini sudah kita uji sejak kita perkenalkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahsa Inggeris) bukan baru dan sebab itu kita buat keputusan sebegini (Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu). 

Kita ada 5.3 juta pelajar dan kita ada hampir 10,000 sekolah dan kita ada lebih kurang hampir 500,000 guru...jadi tentunya maklumat yang peroleh itu menyeluruh dan mengambil semua faktor," katanya. 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bukan secara terburu-buru tetapi melalui kajian yang mendalam demi kebaikan semua pihak.

100 peniaga di Jenjarom bantah kerajaan PKR roboh kedai

AHAD, 30 Oktober, 2011: Kira-kira 100 peniaga di Jalan Sekolah 1, Jenjarom dekat Banting, mengadakan bantahan secara aman bagi menuntut penjelasan kerajaan Selangor kerana merobohkan gerai yang mereka usahakan sejak 60 tahun lalu. 
Peniaga terbabit mendakwa kedai mereka dirobohkan pada 26 September lalu atas arahan kerajaan negeri, lapor Bernama.
Choon Swee

Seorang peniaga, Kay Teng Khoon, 76, berkata kerajaan negeri sepatutnya menawarkan pampasan setimpal kepada mereka dan bukannya memberi sebuah kedai berkeluasan tidak sampai 100 kaki persegi.

"Tanah untuk kedai ini sudah dimiliki sejak zaman pemerintahan British lagi, kini hak kami sejak empat generasi lalu dirobohkan tanpa apa-apa pampasan setimpal diberikan," katanya ketika ditemui pemberita di tapak gerai mereka.
Abdullah Sani

Katanya, mereka difahamkan tempat tersebut diperlukan untuk kegunaan sekolah dan akur serta bersetuju dengan cadangan itu, namun mahu kerajaan negeri member pampasan sewajarnya seperti wang atau tapak perniagaan yang bersesuaian. 

Peniaga terbabit yang turut disertai keluarga masing-masing juga berkata, mereka berkumpul bagi membantah tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Telok Datok dari DAP, Philip Tan Choon Swee dan Anggota Parlimen Kuala Langat dari Parti Keadilan Rakyat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang didakwa lepas tangan dalam isu itu. 

Seorang lagi peniaga, Siah Peck Yoke, 53, pula berkata dalam satu mesyuarat yang pernah diadakan sebelum ini, mereka dijanjikan pemilikan tanah kerana sudah menduduki kawasan tersebut sejak lebih 30 tahun namun itu hanya janji. 

"Saya nak tanya mana semua orang kerajaan, adakah mereka turun menjalankan tugas ataupun hanya tidur. Saya ingin mereka jawab adakah mereka tidur saja," katanya. 

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia, Mohd Ridzuan Abdullah, berkata pihaknya akan cuba membantu peniaga terbabit dengan membawa isu tersebut kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional Selangor. 

"Kami berharap keadaan yang berlaku seperti ini tidak akan berulang di kawasan lain dan mungkin menjadi petunjuk kepada rakyat Selangor untuk memilih kerajaan sebenar," katanya.

Sunday 30 October 2011

CHOGM: Sepakat bentuk Komanwel yang lebih berkesan

NAJIB beramah mesra dengan rakyat Malaysia pada majlis BBQ 1Malaysia yang dihadiri kira-kira seribu orang selepas Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2011 di Perth, hari ini. - Foto BERNAMA

AHAD, 30 Oktober, 2011: Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel menamatkan mesyuarat hari ini dengan memperteguhkan tekad untuk membentuk Komanwel menjadi sebuah institusi yang lebih berkesan dan relevan, berupaya menangani cabaran-cabaran global abad ke-21 seperti jaminan bekalan makanan, perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin turut memperkukuhkan komitmen mereka terhadap nilai-nilai demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Merumuskan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), beliau berkata daripada segi dasar-dasar, nilai-nilai dan komitmen ke arah pembaharuan, ia adalah baik.

"Tetapi seperti biasa adalah tentang bagaimana. Bagaimana kita akan melakukannya merupakan cabaran paling besar,” katanya kepada wartawan Malaysia di Perth.

Bernama melaporkan, Perdana Menteri berkata, keinginan untuk berubah memang ada, dan pemikiran terhadap masalah-masalah dunia jelas dengan semangat Komanwel terus hidup.

“Keinginan untuk menjadikan Komanwel lebih relevan tertera jelas tetapi komitmen dalam pelaksanaan daripada segi sumber, tentang apakah yang boleh kita lakukan saya fikir merupakan satu perkara yang menjadi cabaran besar,” kata beliau.

Persoalan yang sering dibangkitkan kebelakangan ini ialah sejauh mana relevannya Komanwel dan apakah pendirian pertubuhan ini di tengah-tengah cabaran masa kini.

Dalam pada itu, Najib berkata, CHOGM merupakan ‘satu himpunan negara-negara yang mempunyai kepelbagaian menarik’.

“Cabaran yang sering muncul adalah bagaimana hendak mendapatkan keputusan sebulat suara bagi setiap keputusan. Apabila ini timbul di kala usaha untuk mendapatkan keputusan sebulat suara, ini bermakna anda tidak akan mendapat semua yang anda mahukan,” kata Perdana Menteri.

Agenda Kesederhanaan Malaysia dalam pernyataan CHOGM

Pergerakan Global Malaysia bagi Agenda Kesederhanaan, satu inisiatif Najib, telah dimasukkan dalam pernyataan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang dikeluarkan di hari terakhir mesyuarat itu pada Ahad.

Najib berkata, ini bermakna sebagai sebuah organisasi, sekretariat Komanwel juga perlu mendokong Pergerakan Kesederhanaan Global ini.

Beliau membeithu, pada dasarnya orang menyokong keseluruhan idea konsep ini.

“Kini terpulanglah kepada kita untuk mencuba memperjelaskan dalam aspek aktiviti dan program yang boleh mengukuhkan konsep ini, prinsip dan nilai-nilai berkaitan dengan Pergerakan Kesederhanaan Global,” tambahnya.

Perdana Menteri berkata, pada hakikatnya satu seminar utama mengenai ini telah dirancang diadakan pada Januari tahun depan yang akan dihoskan oleh Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di mana para pemimpin dari seluruh dunia yang dipilih akan dijemput.

“Dan peringkat kedua ialah mengadakan institusi menjalankan banyak penyelidikan dalam aspek bagaimana kita promosikan nilai-nilai ini,” kata Perdana Menteri.

Katanya, beliau menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan perkara ini, sambil menambah ia tidak lama lagi. 

PRU-13: Tsu Koon nafi beritahu blogger akan cabar Guan Eng

AHAD, 30 Oktober, 2911: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menafikan pernah ditemu bual oleh blogger yang memuatkan artikel dalam sebuah laman blog menyebut beliau bersedia mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Bernama, sambil menepis laporan itu, Tsu Koon menyifatkan penulis blog sebagai golongan yang suka menulis apa sahaja walaupun ia tidak benar.

Beliau berkata, penulis blog menulis apa sahaja yang dikehendaki dan ada juga blog-blog lain yang menulis pelbagai perkara mengenai dirinya.

"Saya tidak akan memberikan komen berdasarkan hanya satu penulisan di blog, mereka boleh kata apa sahaja yang mereka mahu... ada juga beberapa blog yang menulis pelbagai perkara lain berkaitan diri saya.

"Setiausaha Akhbar saya sudah pun menafikannya, saya tidak pernah ditemu bual oleh mana-mana blogger... jadi bagaimana mereka boleh menyebut saya yang bercakap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Terbuka Deepavali Parti Gerakan di Menara PGRM di Cheras, hari ini.

Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas tulisan dalam blog PapaGomo yang menyebut bahawa beliau bersedia mencabar Setiausaha Agung DAP, Guan Eng di mana-mana kawasan untuk bertanding pada PRU Ke-13 akan datang. 

Negara Islam perlu 'Pandang ke Timur': Dr Mahathir

Dr Mahathir
AHAD, 30 Oktober, 2011. – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan negara-negara Islam yang lain seharusnya memandang ke arah negara-negara Timur yang lain dan bukannya Barat sebagai model untuk pembangunan mereka.


Bekas Perdana Menteri berkata, beliau percaya telah membuat keputusan yang betul dalam memperkenalkan dasar “Pandang ke Timur” iaitu mencontohi etika kerja dan teknik-teknik perniagaan dari Jepun dan Korea Selatan dalam tempoh beliau sebagai perdana menteri, lapor Bernama.

"Pada masa ini, terdapat banyak sangat masalah dengan negara-negara Barat. Masalah di Barat ialah mereka telah meminjam terlalu banyak dan tidak boleh membayar semula.

“Kita tidak boleh ada negara macam itu untuk dijadikan model.

"Jika kita lihat negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan China di Timur... China ada rizab bernilai AS$3.2 trilion. Mereka berenang dalam lautan duit. Korea boleh hasilkan produk utama yang lebih baik daripada yang dihasilkan oleh negara-negara di Barat.

"Jepun, yang kita tahu, ialah negara yang kalah dalam peperangan... musnah sepenuhnya tetapi kembali membina semula negaranya sendiri, dan menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia.

“Jika kita mahu tiru atau belajar sesuatu, belajar dari kejayaan orang lain, bukan daripada kegagalan,” kata beliau ketika sesi soal jawab di Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam Langkawi yang ketiga (LIFE 3) di Langkawi.

Sementara itu, Dr Mahathir berharap kerajaan dapat memberi kelonggaran dalam melaksanakan Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi.

Ini bagi mengelakkan peruntukan untuk pembangunan itu lambat digunakan, katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peruntukan hampir setengah bilion untuk pembangunan Langkawi, tetapi sebarang projek pembangunan sering mengambil masa yang lama terutama perkara proses pengambilan tanah.

”Kalau beri kelonggaran kita boleh capai apa yang hendak dilakukan. Kalau nak ambil tanah sahaja, makan masa setahun. Setahun lepas tu baru boleh buat. Jadi peruntukan itu tidak dibelanjakan.

”Saya percaya kerajaan negeri Kedah boleh meluluskan permohonan tanah dengan cepat tetapi prosedur kerajaan kena ikut... ini yang makan masa,” katanya di sini.

Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober lepas mengumumkan Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan RM420 juta.


Antara inisiatif yang diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan, serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.