My Add

Sunday 29 January 2012

50,000 meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

NAJIB Tun Razak bersama Rosmah Mansor bermesra dengan Tan Yee Syuen, 3, dan Tan Chang Yuen, 2, ketika mengunjungi keluarga Tan Kiew Siew, 40, dan isteri Chong Lee Chuan, 38, di Taman Sepakat, Kampung Selamat, sebelum menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan, malam tadi. Turut hadir Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli. – BERNAMA

SITIAWAN, AHAD, 29 Januari, 2012 Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan malam tadi berjaya apabila dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung pelbagai kaum.

Beliau berkata, ini terbukti apabila setiap pelusuk padang yang luas itu dipenuhi pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat.

“Perhimpunan terbesar ini (orang tanya) siapa yang bilang (kira)? kita yang bilang... kerana kawasan yang besar ini dipenuhi dengan pengunjung dari empat pelusuk (padang) yang mahu meraikan perayaan ini bersama,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Rais berkata, beliau bangga kerana masyarakat Cina yang hadir bukan sahaja dari Sitiawan malah pelbagai kawasan berhampiran.

Selain itu, katanya, sambutan Tahun Naga mengikut kalendar Cina pada perayaan Tahun Baru perlu dijadikan elemen perpaduan di bawah gagasan 1Malaysia.

“Tahun Naga merupakan simbolik pada tahun ini kerana ia mempunyai kuasa dan sifat yang berbeza dengan makhluk yang lain.

“Naga juga membawa kekuatan, kebahagiaan serta nilai-nilai yang boleh dibanggakan. Ini boleh dijadikan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Rais turut melahirkan perasaan bangganya dengan majlis yang dianjurkan apabila 250 tarian naga dipersembahkan dicatat dalam Malaysia Books of Record.

“Tarian kebudayaan yang dipersembahkan malam ini juga membawa erti perjuangan di Malaysia dan juga di kawasan ini (Lumut),” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pelbagai persembahan lain, antaranya pelancaran gimik, artis dan kumpulan kesenian. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment