My Add

Sunday 29 January 2012

Warisan, kebudayaan kaum Cina terus dipertahan – PM

LUMUT, AHAD, 29 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa setiap warisan dan kebudayaan yang membentuk identiti serta jati diri kaum Cina di negara ini akan terus dipelihara.

Perdana Menteri berkata, kepimpinan Barisan Nasional (BN) sejak lima dekad lalu tetap berpegang kepada prinsip menghormati kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang hebat.

Berucap di hadapan 50,000 hadirin pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan dekat sini malam tadi, Najib menegaskan, masyarakat Cina di negara ini dianggap cukup istimewa berbanding di negara-negara lain.

“Kita boleh berbangga hari ini bahawa dari segi kesucian kebudayaan Cina, Malaysia paling istimewa, tiada negara lain di Asia Tenggara ini yang memelihara budaya orang Cina, hatta di negara China sekalipun.

“Di China, revolusi budaya telah menyebabkan banyak warisan dan budaya orang Cina dihapuskan atau dirosakkan, tapi di Malaysia sehingga hari ini semuanya kita pelihara,” katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjadikan seni persembahan Chingay sebagai warisan kebudayaan kebangsaan.

Najib berkata, masyarakat Cina terutamanya generasi muda perlu mengetahui bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang sama sejak merdeka memelihara kesucian warisan dan budaya kaum itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment