My Add

Sunday, 29 January 2012

Peranan, imej Rela ditransformasi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (terlindung dalam gambar) disambut anggota-anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) pada majlis Perhimpunan Perdana Rela Bersama Perdana Menteri sempena Ulang Tahun ke-40 Rela di Serdang, semalam.– BERNAMA

KUALA LUMPU, AHAD, 29 Januari, 2012: Kerajaan bercadang mentransformasikan peranan serta imej pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bagi membolehkan pasukan itu muncul sebagai organisasi tersusun, berintegriti serta ‘berwajah’ 1Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk itu satu akta sedang digubal dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi bagi memperincikan transformasi berkenaan.

Menurut beliau, antara lain akta berkenaan akan menyaksikan peranan Rela yang kini dianggotai kira-kira tiga juta ahli diperluaskan dan tidak lagi sekadar dipandang sebagai ‘pelakon tambahan’ dalam mempertahankan keamanan serta kesejahteraan negara.

“Menerusi transformasi itu juga, kita mahu Rela terus menjadi ‘alat’ kejayaan kepada program-program transformasi kerajaan dan negara serta bersama-sama kerajaan dalam mempertahankan agenda negara. Ancaman baru boleh timbul bila-bila masa termasuk secara halus yang boleh menggugat kepentingan negara.

“Mungkin ancaman baru itu berbentuk jenayah, fahaman ekstrem, ancaman pemerdagangan orang atau pengedaran dadah. Untuk itu, kita mahu Rela bersama-sama pasukan keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keamanan.

“Jika ada ancaman jenayah atau masalah berkaitan perpaduan, Rela harus ada (bersama-sama pasukan lain) di situ. Rela perlu dekat dengan rakyat. Kita tidak mahu Rela sekadar ‘wujud’ di majlis-majlis tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-40 Rela di Serdang, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim.

Najib berkata, selain peranan, transformasi Rela juga akan memperkemas struktur organisasinya serta memperlihatkan imej yang baru.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa anggota Rela untuk terus berada di belakang kerajaan dalam mempertahan keamanan negara dan tidak membiarkan pihak-pihak tertentu bertindak mencalar imej negara.

“Kita nak keamanan terus terpelihara. Jika ada yang tidak berpuas hati, kita sudah luluskan Akta Perhimpunan Aman 2011. Tetapi, jangan sesekali timbulkan huru hara kerana tiga juta ahli Rela tidak rela negara berada dalam keadaan kucar kacir,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, beliau mengumumkan kenaikan elaun bertugas anggota Rela sebanyak RM2 sejam.

Ketika ini anggota biasa Rela dibayar elaun bertugas sebanyak RM4 sejam manakala Ketua Platun, RM5.80 sejam. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment