My Add

Sunday, 29 January 2012

Tingkatkan prestasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan kepada, Lukman Hakim Sahar pada majlis Perbarisan Diraja dan Pengurnian Watikah di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/GHAZALI BASRI 

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah menyeru semua pihak terutama pengurusan tertinggi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), berusaha mengekalkan prestasi dan prestij universiti tersebut ke arah mencapai visi dan misi penubuhannya.

Seri Paduka bertitah, langkah-langkah peningkatan harus dilakukan berterusan selaras dengan perkembangan semasa, agar usaha mewujudkan kecemerlangan di masa hadapan dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Beta amat berbangga kerana UPNM berjaya melahirkan pegawai-pegawai muda yang bakal mewarisi kepimpinan unggul Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di masa depan,” titah Seri Paduka sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Pentauliahan 302 pegawai kadet UPNM di sini, semalam.

Turut berangkat menghadiri majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dan Pro Canselor UPNM, Brigadier Jeneral Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Dauk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud yang mewakili Panglima ATM.

Seri Paduka mengingatkan bahawa anugerah pentauliahan itu satu amanah yang perlu dipelihara dan dihayati dengan iltizam berterusan.

“Beta yakin, lepasan kadet UPNM adalah ‘Leader of Character’ yang sentiasa tersemat dalam diri dengan nilai-nilai kewajipan, maruah dan integriti di samping menjadi seorang insan yang intelek dan tinggi budaya pekertinya.

“Natijah ini akan mendokong kesinambungan keselamatan, pertahanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah, anugerah pentauliahan itu adalah satu amanah yang wajib dipelihara dengan komitmen dan penghayatan berterusan.

“Penerima anugerah adalah mereka yang terpilih, cemerlang dan sanggup mengorbankan jiwa dan raga kepada agama, bangsa dan negara.

“Kepada bakal pegawai-pegawai muda ATM, perlu diingat bahawa istiadat pada hari ini hanyalah permulaan kepada satu perjalanan panjang, yang penuh dengan cabaran dan dugaan,” titah Seri Paduka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment