My Add

Sunday 29 January 2012

Sokong J/kuasa Penguatkuasaan Undang-undang Syariah

KEPALA BATAS, AHAD, 29 Januari, 2012: Sekretariat Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) menyokong penubuhan Jawatankuasa Pusat Penguatkuasaan Undang-undang Syariah bagi mempertingkatkan penguatkuasaan enakmen berhubung penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam.

Timbalan Pengerusi Himpun Kebangsaan, Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, jawatankuasa itu penting bagi membendung gejala penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam yang kian berleluasa dewasa ini.

"Himpun menyokong usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk melaksanakan jawatankuasa itu di setiap negeri. Setakat ini Himpun belum buat sebarang tindakan tetapi kami sangat bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pidatonya di Perhimpunan Sejuta Umat 'Selamatkan Akidah' di Dewan Budi Penyayang di sini hari ini.

Lebih 3,000 orang menghadiri perhimpunan yang memasuki siri keempat itu.

Katanya, setakat ini, undang-undang syariah yang sedia ada hanyalah untuk orang Islam, menangani orang Islam yang murtad tetapi bukan untuk orang yang memurtadkan orang Islam.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Jamil Khir dan dianggotai pengarah jabatan agama Islam negeri, wakil Kementerian Dalam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Abdullah Zaik berkata, Himpun juga akan menyerahkan memorandum yang mengandungi akta murtad kepada Majlis Raja-Raja dalam usaha membendung gejala itu daripada terus berleluasa di negara ini.

"Memorandum itu telah sedia tetapi belum ada masa yang sesuai untuk menghantarnya, tetapi akan dihantar dalam tempoh terdekat ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment