My Add

Friday 6 April 2012

3 ditahan bantu siasatan kes samun klinik di Jelutong

GEORGETOWN, JUMAAT, 06 April, 2012: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam dua kes samun di klinik perubatan di Jelutong semalam. 

Turut ditahan, lelaki berusia 27 dan 39 tahun itu ialah seorang wanita rakyat Vietnam berusia 23 tahun yang juga teman wanita seorang daripada suspek itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata tangkapan pertama dibuat di hadapan sebuah restoran di Jelutong pada jam 12.30 tengah malam tadi.

"Suspek ditangkap semasa memandu kereta mewah. Hasil soal siasat, polis menemui dua bilah pisau dan menahan seorang lagi lelaki pada jam 2 pagi di sebuah hotel bajet. Lelaki kedua itu ditahan bersama teman wanitanya," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Beliau berkata, polis merampas pelbagai barangan milik mangsa berupa telefon bimbit, i-Pad, seutas jam tangan, alat pencabut gigi, perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan beg, yang kesemuanya bernilai RM9,000. 

Gan berkata, siasatan awal polis juga mendapati kedua-dua lelaki terbabit mempunyai kes jenayah lampau dan mereka juga positif dadah. 

"Suspek yang berumur 27 tahun dari Georgetown mempunyai 13 rekod jenayah manakala suspek kedua yang berumur 39 tahun dari Kelantan ada satu rekod kes bunuh dan pernah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment