My Add

Sunday 8 April 2012

Bantuan khas bekas polis selesai menjelang Jun

BESUT, AHAD, 08 April, 2012: Bantuan khas RM3,000 kepada setiap daripada 72,000 orang bekas anggota polis yang berkhidmat semasa darurat dijangka selesai diagihkan selewat-lewatnya Jun ini. 

Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ali Besar, berkata setakat ini seramai 55,000 daripada mereka sudah menerima bantuan itu melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri mulai 25 Mac lalu.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi sedikit masalah untuk mengagihkan bantuan tersebut kerana terdapat beberapa masalah teknikal di mana ada antara pesara ini sudah berpindah daripada alamat kediaman asal termasuk maklumat yang tidak tepat.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan cek berkenaan kepada dua bekas polis yang berkhidmat semasa darurat iaitu Ismail Idris, 82, dari Kampung Tok Motong, dan seorang balu bekas anggota, Umi Khelthom Abdul Rashid, 61, dari Kampung Lak Lok di rumah masing-masing. 

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia yang juga Pengerusi Persatuan Bekas Polis Terengganu, Hussin Awang Ngah. 

Beliau berkata, Selangor adalah antara penerima teramai dan diikuti Johor, Sabah serta Sarawak yang membabitkan mereka yang berumur antara 75 hingga 90 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment