MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN DAN MOHD ZULFADLI SHARIFUDIN
KUALA LUMPUR, RABU, 18 April, 2012; Bekas-bekas pemimpin pengasas PKR menubuhkan kelab menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim - dinamakan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai).
Mursyidul Amnya, Muhammad Zahid Md Arip berkata, kelab ini ditubuhkan bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai pembohongan yang dibuat Anwar.
Tibai akan dilancarkan secara rasmi pada 22 April ini di Kelab Sultan Sulaiman. Ia akan dirasmikan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
"Kita akan turun secara maksimum di kawasan-kawasan yang ditandingi PKR bagi mendedahkan siapa Anwar sebenarnya.
"Kita akan fokuskan empat negeri iaitu di Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ditanya bagaimana untuk menjadi ahli kelab itu, Muhammad Zahid berkata, keahlian adalah terbuka dan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Untuk jadi ahli, cukup hanya di dalam hati, sahaja aku sertai Tibai kerana ALLAH Taala," katanya.
Tibai turut ditubuhkan oleh 28 individu yang merupakan bekas pengasas PKR, antaranya Senator Mohd Ezam Mohd Noor; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Datuk Zulkifli Nordin; Senator Datuk S Nalakaruppan; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Cho
Keong; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari; Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim; bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah; Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor, Hamidzun Khairuddin; bekas pembantu Anwar, Rahimi Osman dan Ng Lum Yong.
Kata Muhammad Arip lagi, walaupun Tibai menyokong Umno, mereka bertindak menubuhkan kelab ini tanpa pengaruh sesiapa kecuali atas kesedaran menyelamatkan negara daripada Anwar.
"Kita akan guna apa jua cara untuk halang Anwar, jika beliau berceramah, kita akan berada dalam ceramahnya," katanya. - SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment