KUALA LUMPUR, SELASA, 10 April, 2012: Bekas rakan perniagaan kepada penyanyi Datuk DJ Dave hari ini bersetuju membayar sejumlah RM133 ribu kepada penyanyi itu dalam kes saman berhubung penjualan sebuah rumah banglo dua tingkat.
Ini berikutan persetujuan penghakiman yang dicapai oleh kedua-dua plaintif dan defendan iaitu DJ Dave dan Thomas Varkki.
Peguam A S Dhaliwal yang mewakili penyanyi itu memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Azian Othman merekodkan persetujuan penghakiman itu dalam kamarnya.
DJ Dave, atau nama Islamnya Irwan Shah Abdullah, memfailkan saman itu pada 2009 atas dakwaan defendan memungkiri terma perjanjian penyelesaian dalam penjualan banglo, di Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam pernyataan tuntutannya, penyanyi itu mendakwa beliau dan Varkki adalah pengarah bersama bagi syarikat Mukim Angkasa Sdn Bhd yang memiliki banglo itu dan atas permintaan defendan untuk menjual banglo itu suatu perjanjian penyelesaian dibuat pada 24 Ogos 2005, yang mana plaintif (DJ Dave) akan dibayar sejumlah RM745,000 bagi jualan itu.
Penyanyi itu berkata, beliau menerima bayaran sejumlah RM415,077.
Dalam saman itu, DJ Dave memohon dibayar kepadanya baki, ganti rugi am, faedah dan juga kos.
Peguam M Mageswary mewakili defendan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment